1,136 anjing divaksin dan dilesenkan di Kelantan setakat Oktober 2025


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 20 Okt – Sebanyak 1,136 ekor anjing telah divaksin dan dilesenkan di semua 10 jajahan di Kelantan setakat Oktober tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata langkah tersebut adalah sebahagian daripada tindakan pencegahan awal di bawah Akta Binatang 1953 melalui pewartaan Perintah Pemvaksinan Penyakit Anjing Gila (Negeri Kelantan) 2025, yang menetapkan hanya anjing yang menerima suntikan vaksin anti Rabies sahaja boleh dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pemilik anjing yang telah divaksin untuk mendaftar dan melesenkan haiwan peliharaan mereka di bawah Undang-Undang Kecil PBT,” katanya menerusi media sosial pada Ahad.


Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 25 kes gigitan haiwan telah dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, membabitkan 17 ekor anjing bertuan, tujuh anjing tidak bertuan, manakala satu kes lagi melibatkan gigitan kucing.

“Kesemua kes telah disiasat dan tindakan sewajarnya telah diambil,” ujarnya.

YB Hilmi sebelum itu merasmikan Sambutan Hari Rabies Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Mydin Mall Tunjong, sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran awam mengenai penyakit Rabies, serta kaedah pencegahan, rawatan dan kawalannya.


Tambahnya, Rabies yang juga dikenali sebagai penyakit anjing gila merupakan penyakit yang boleh dicegah melalui pemberian vaksin secara berjadual terhadap haiwan peliharaan.

“Pengetahuan masyarakat untuk bertindak pantas apabila terkena gigitan haiwan berisiko seperti anjing mampu menyelamatkan nyawa.

“90 peratus pesakit gagal diselamatkan apabila virus Rabies menyerang sistem saraf, menyebabkan kekejangan otot dan keradangan otak. Sehingga kini, masih tiada rawatan khusus bagi penyakit ini,” katanya.

Beliau turut menyeru agar PBT di seluruh negeri terus memainkan peranan proaktif dalam aspek penguatkuasaan, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik yang masih gagal melesenkan anjing peliharaan mereka.

"Ini kerana faktor kedudukan sempadan Malaysia-Thailand yang merentasi hampir 80 kilometer di Kelantan memungkinkan pencerobohan anjing liar yang berpotensi membawa virus Rabies dari negara jiran pada bila-bila masa," jelasnya.

Hadir sama dalam perasmian tersebut ialah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan Dr. Yahasmida Yaacob.




Post a Comment

0 Comments