Oleh: Syamimi Manah
PORT DICKSON, 7 Oktober – Persatuan Anak-Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan Malaysia) terus memperkukuh peranannya sebagai jambatan kebajikan dan medium penyampaian maklumat kerajaan negeri kepada anak-anak Kelantan di perantauan melalui sesi sumbang saran Ahli Jawatankuasa (AJK) induk Perakan Malaysia pada 3 hingga 5 Oktober.
Sesi tersebut dirasmikan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud dan dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumboh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus, ADN Chetok YB Zuraidin Abdullah, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan Dato' Dr. Wan Nik Wan Yussof, serta Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad.
Program tersebut menumpukan kepada pemantapan pelan perancangan, pemetaan gerak kerja, keberkesanan penganjuran dan cabaran semasa Perakan Malaysia.
Dalam ucapannya, YB Mohd Asri menyeru agar pelan strategik disusun dengan kreatif bagi memperkukuh peranan Perakan Malaysia sebagai platform kebajikan dan perpaduan komuniti Kelantan.
Tambahnya, Perakan Malaysia yang mengangkat moto “Sepakat, Setia, Sokmo” itu sentiasa berperanan sebagai medium penyampaian maklumat terkini kerajaan negeri serta menghubungkan anak-anak Kelantan dengan tanah air mereka.
0 Comments