Petronas bantu 1,700 penduduk sempena Deepavali

SALMAH MAT HUSAIN

KUALA KRAI: Petronas turut menyemarakkan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan masyarakat dengan menyalurkan sumbangan kepada 1,700 penduduk sempena perayaan Deepavali 2025.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, sebanyak RM340,000 disumbang Yayasan Petronas di seluruh negara melalui Program Yayasan Petronas Memacu Kehidupan.

Katanya, sumbangan berkenaan sebagai usaha menyemarakkan keceriaan masyarakat India sempena Deepavali.

“Di Kelantan seramai 100 keluarga terpilih di Kuala Krai menerima sumbangan bakul makanan,” katanya pada program berkenaan di Dewan Kesedar hari ini.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu golongan berpendapatan rendah, di samping memperkukuh hubungan antara kaum melalui semangat kebersamaan dan kasih sayang.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keunikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang meraikan kepelbagaian budaya dan agama.

Menurutnya perayaan Deepavali bukan sahaja diraikan masyarakat India, malah turut dikongsi bersama rakyat berbilang bangsa.

"Ibarat serumpun bak serai, sesusun bak sirih, semangat toleransi dan muafakat inilah yang menjadikan Malaysia terus makmur,” ujarnya.


Beliau juga berkata, Yayasan Petronas akan terus melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan melalui teras pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti serta alam sekitar.

Kata beliau program itu merupakan inisiatif di bawah teras kesejahteraan dan pembangunan masyarakat bertujuan meningkatkan taraf hidup golongan kurang berkemampuan.

Shazly turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Pengarah JKM Kelantan, Md Yani Mat Zain serta kakitangan jabatan berkenaan membantu menjayakan program berkenaan.

“Terima kasih atas komitmen dan usaha berterusan JKM dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

“Dengan tulus ikhlas saya mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali, Deepavali Nal Valthukkal kepada rakyat Malaysia beragama Hindu,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments