Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 21 Oktober – Peserta Ladang Rakyat adalah pendokong aspirasi Kerajaan Negeri Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI).
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, peserta Ladang Rakyat berperanan penting sebagai pendokong dasar kerajaan negeri yang dizahirkan melalui penglibatan aktif dalam setiap program yang dianjurkan.
"Sokongan penuh yang diberikan oleh peserta kepada program-program kerajaan amat dihargai. Saya menyeru agar segala maklumat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan negeri disampaikan secara meluas kepada masyarakat,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Demit meluangkan masa untuk bertemu para peserta Ladang Rakyat dalam satu majlis ramah mesra dan penyampaian agihan dividen bagi tempoh tiga bulan.
Majlis turut diisi dengan Kuliah Khas yang disampaikan oleh Pengelola Halaqat Kawasan Kubang Kerian merangkap Ketua Dewan Ulama Kawasan Kubang Kerian Ustaz Wan Abdullah Wan Ali.
Untuk rekod, program Ladang Rakyat dilaksana bermula tahun 2006. Sehingga Ogos 2024 sebanyak RM180 juta dividen Ladang Rakyat diagih kepada peserta yang peserta yang layak.
Setiap peserta akan menerima dividen bulanan sebanyak RM200. Program Khairat Kematian turut dilaksanakan bagi peserta yang telah meninggal dunia.
0 Comments