482 rakyat DUN Ayer Lanas terima sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan


Oleh: Asri Hamat  

KOTA DARULNAIM, 21 Oktober – Sebanyak 482 penerima di Dewan Negeri (DUN) Ayer Lanas menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Kelantan menerusi program Hari Kelantanku Cakna 2025 yang berlangsung di Dewan PURNAMA, Ayer Lanas, Jeli pada Isnin.  

Program kebajikan yang bertujuan membantu golongan memerlukan itu melibatkan beberapa skim utama, antaranya Skim Adhoc Armalah (Ibu Tunggal) Fasa 2 melibatkan 300 penerima, Skim Armalah Fasa 1 dengan 52 penerima, Skim Pendidikan Yatim 100 penerima, dan Skim Makruf OKU  30 penerima.  

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan  yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Ayer Lanas YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pelaksanaan program tersebut  mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.  

“Program seperti ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat nasib rakyat, selaras dengan semangat Membangun Bersama Islam yang mengutamakan kebajikan, kasih sayang dan keadilan sosial kepada rakyat,” katanya menerusi media sosial pada Isnin.  

Program berkenaan turut mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat yang menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam membantu golongan sasar seperti ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya. 


Untuk rekod, Kerajaan Negeri Kelantan telah melaksanakan pelbagai skim kebajikan bagi memperkasakan kesejahteraan rakyat. 

Antaranya, Skim Khairat Kifaalah iaitu bantuan untuk warga emas rakyat Kelantan berumur 55 tahun dan ke atas manakala  Skim Cakna Suri pula ialah sumbangan tunai sekali beri kepada suri rumah sepenuh masa yang berumur 54 tahun ke bawah, rakyat Kelantan, mempunyai sekurang-kurangnya dua anak tanggungan dan pendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah. 

Seterusnya, Skim Bantuan Gerbang Az-Ziwaaj ialah bantuan perkahwinan sebanyak RM1,000 kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, tertakluk kepada syarat kelayakan.

Bantuan Armalah dan OKU juga disalurkan melalui pelan komprehensif dengan pelantikan penyelaras khas di peringkat DUN dan Parlimen. Sementara Bantuan Penarik Beca dinaikkan kepada RM500 sebulan bermula Januari 2025 sebagai menghargai jasa mereka.  

Tidak terkecuali Bantuan Sakit Kronik disumbangkan secara sekali beri kepada individu yang menghidap penyakit kronik. Di samping Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) buat pengusaha perniagaan kecil, serta sumbangan tunai dan simpanan bank melalui Skim Cakna Aulad kepada ibu bapa yang mempunyai bayi baru lahir.

Post a Comment

0 Comments