Pesta Flora Kelantan 2025: MDTM pertahan kejuaraan tiga tahun berturut-turut


Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 2 Oktober – Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) sekali lagi membuktikan keunggulan dalam seni landskap apabila mempertahankan gelaran johan Pertandingan Landskap sempena Pesta Flora Negeri Kelantan 2025, menjadikan kemenangan itu kali ketiga berturut-turut.

Kejayaan tersebut melayakkan MDTM membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah yang berkenan mencemar duli merasmikan pesta tahunan itu di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat.

Naib johan pertandingan disandang Majlis Daerah Machang dengan hadiah RM7,000, manakala Majlis Daerah Ketereh meraih tempat ketiga dan pulang bersama hadiah RM5,000.

Menariknya, Sultanah turut berkenan mengurniakan hadiah bagi kategori lain, termasuk Pertandingan Gubahan Bunga daripada Rempah Ratus dan Pertandingan Gubahan Bunga Hidup Lobi Pejabat yang kedua-duanya dimenangi Pejabat Tanah dan Jajahan Machang.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Nassuruddin Daud menzahirkan penghargaan atas keberangkatan Sultanah yang disifatkan sebagai lambang komitmen baginda dalam usaha menjaga keindahan dan kelestarian alam sekitar negeri.

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan

Beliau berkata, Pesta Flora 2025 yang berlangsung empat hari bermula hari ini hingga 5 Oktober bakal menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk jualan tanaman hiasan dan florikultur, pameran landskap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pameran bromeliad dan nanas, selain jualan kraftangan, makanan serta input pertanian.


“Pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan kesenian dan budaya tempatan. Pesta ini bukan sahaja mengangkat industri florikultur negeri, bahkan mengukuhkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya.

Post a Comment

0 Comments