Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 2 Oktober – Pesta Flora Negeri Kelantan 2025 kembali mewarnai Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat, dengan menonjolkan pameran landskap 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), keindahan bunga pelbagai spesies serta persembahan seni budaya tempatan yang memukau.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata acara tahunan bersempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Sultan Muhammad V ke-56 itu berlangsung selama empat hari, mulai 2 hingga 5 Oktober.
“Pesta Flora tahun ini mengetengahkan pameran landskap, orkid, bromeliad dan nanas selain jualan florikultur, kraftangan serta makanan tempatan. Saya menjemput semua rakyat, khususnya warga Kelantan, hadir dan memeriahkan acara dari pukul 10 pagi hingga pukul 11 malam sepanjang empat hari ini,” katanya dalam satu hantaran video di media sosial, hari ini.
Bertemakan “Kelantan Indah, Flora Mempesona”, pesta tersebut turut menyediakan pelbagai tarikan untuk semua lapisan umur, termasuk Petting Zoo bagi kanak-kanak, pertandingan mewarna dan melukis, serta aktiviti jualan input pertanian.
Selain itu, pengunjung dapat menyaksikan persembahan seni budaya seperti dikir barat, silat, gasing terbang, kertok kelapa, wayang kulit dan lagu tradisional nusantara.
Acara kemuncak hari kedua menyaksikan pertandingan masakan ikan air tawar berasaskan ulaman serta sesi Rasa-rasa Akuakultur yang mengetengahkan kepelbagaian cita rasa tempatan.
Pesta anjuran Kerajaan Negeri Kelantan itu bakal melabuhkan tirai pada 5 Oktober dengan persembahan silat, gasing terbang, kertok kelapa dan wayang kulit sebagai penutup.
Menurut penganjur, Pesta Flora merupakan medan rekreasi keluarga dan platform untuk memperkukuhkan sektor florikultur negeri, mempromosikan landskap hijau lestari serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar.




0 Comments