Sejarah lama diolah ikut kacamata penjajah

 

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Malangnya sejarah dahulu diolah daripada kacamata penjajah sehingga ulama terkenal seperti Tok Janggut dianggap sebagai pemberontak.

Sedangkan beliau merupakan seorang ulama pejuang yang gugur syahid di Kampung Jeram, Pasir Puteh pada tahun 1915 kerana menentang penjajah.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, begitu juga Tok Kenali, kehebatannya dalam bidang agama, politik, masyarakat dan ekonomi kurang dikenali generasi sekarang.


Katanya, mereka merupakan golongan ulama yang memainkan peranan besar ketika gerakan awal menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

“Begitu juga kehadiran ulama tersohor Sheikh Wan Ahmad al-Fatani menjadi tempat rujukan ramai," ujarnya pada program Bual Bicara Sejarah Tokoh Kenali dan Sumbangannya di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.

Program berkenaan diadakan sempena sambutan 35 tahun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dan 70 tahun PAS Kelantan.

Pentas Ulama tersebut turut dihadiri Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali, Ustaz Zulqarnain Hassan dan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan, Dr Mohd Alwee Yusof.

Hadir sama Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Dr Riduan yang juga Adun Jertih berkata, Tok Kenali amat menekankan kepentingan pendidikan dan pembaharuan jihad ilmu dengan menggerakkan sekolah-sekolah agama.

“Dari sinilah lahir generasi ulama yang menjadi kekuatan Islam di Kelantan sehingga membawa perubahan besar kepada Kelantan,” ujarnya.

Kata beliau kemenangan kerajaan PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada 21 Oktober 1990 membolehkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan.

“Tok Guru menyusun semula pentadbiran kerajaan menurut acuan Islam sehingga berjaya mengubah wajah negeri ini,” katanya.

Menurutnya juga anak-anak Kelantan bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut menguasai dunia ilmu sehingga ke peringkat antarabangsa.

Fenomena itu membuktikan minat dan kecintaan anak Kelantan terhadap ilmu berpunca daripada warisan ulama terdahulu.


Beliau turut berharap generasi muda mengenali tokoh-tokoh ulama dahulu kerana mereka mencetus kesedaran ilmu dan menjadi penggerak kepada perjuangan politik, ekonomi dan jihad Islam.

“Ulama seperti Tok Kenali bukan sekadar pendidik, bahkan pemangkin kebangkitan masyarakat. Di bawah kepimpinannya, sekolah agama rakyat ditubuh di Kelantan,” ujarnya.

Katanya juga usaha memperkenalkan ulama perlu diperluas ke seluruh negara, khususnya di negeri-negeri di bawah Perikatan Nasional (SG4) supaya masyarakat mengenali sejarah dan leluhur ulama tersohor termasuk Tok Kenali.

Kata beliau apabila rakyat memahami agama mereka akan terus menyokong perjuangan Islam sehingga membolehkan Kelantan kekal utuh di bawah PAS sehingga sekarang.

 

Post a Comment

0 Comments