Oleh: Syamimi Manah
BANGI, 14 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan terus memberi perhatian terhadap pembangunan bakat anak muda dalam bidang bola sepak bagi memastikan potensi mereka dapat digilap ke peringkat lebih tinggi.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, cabaran utama dalam bola sepak kini adalah proses pemulihan pasukan The Red Warriors (TRW) selepas badan induk Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) digantung.
“Kerajaan negeri sedang berusaha membantu KAFA kembali stabil supaya pasukan bola sepak Kelantan dapat diurus semula dengan baik,” katanya ketika sesi Townhall Pimpinan Kerajaan Negeri bersama Anak Kelantan di Perantauan, di sini, pada Ahad.
Sebagai usaha memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi, kerajaan negeri telah melaksanakan Liga Elit DUN (LED).
Program tersebut melibatkan 45 Dewan Negeri (DUN dengan penyertaan kira-kira 400 pasukan, khusus untuk pemain berusia 25 tahun ke bawah. Kejohanan itu menjadi platform penting untuk mengenal pasti dan mengasah bakat baharu di seluruh negeri.
Menurut YB Zamakhshari, pasukan yang menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat LED akan bersaing dalam Piala Menteri Besar (MB), yang menghimpunkan pasukan terbaik dari seluruh Kelantan dan menjadi medan penilaian untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Kerajaan negeri juga merancang memberi sumbangan kepada pemenang Piala MB untuk menyertai Liga A3 dan bersaing dengan pasukan lain di peringkat lebih profesional.
Tambahnya, selain bola sepak, Kelantan turut memperkukuh pembangunan e-sukan melalui pelbagai program dan pertandingan yang memberi peluang kepada anak muda mengasah kemahiran serta bersaing secara sihat.
0 Comments