Taman Puteri Saadong berubah wajah

Oleh Salmah Mat Husain

TUMPAT: Taman Puteri Saadong berubah wajah apabila dilengkapi trek joging, taman permainan kanak-kanak dan padang serbaguna.

Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat (MDT), Nazwan Ismail berkata, projek tersebut dibiayai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Jabatan Landskap Negara dengan sokongan kerajaan negeri.

Katanya projek tersebut dinaik taraf melibatkan kos RM500,000 bagi menyediakan kemudahan riadah lebih selesa kepada masyarakat di Tumpat.

Menurutnya, kemudahan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya penduduk di Wakaf Bharu bagi tujuan aktiviti kesihatan dan kekeluargaan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada unit pembangunan landskap MDT yang menyelenggara projek ini dengan baik.  

"Kemudahan ini diharap dapat digunakan sebaik mungkin untuk manfaat orang ramai,” katanya ketika merasmikan Taman Puteri Saadong di Wakaf Bharu, di sini semalam.


Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah dan pemimpin tempatan.

Mohd Rusli pula berkata, masyarakat wajar mengambil peluang menggunakan kemudahan disediakan di taman rekreasi untuk mengamal gaya hidup sihat.

Katanya pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan termasuk bersenam, berjalan kaki dan berjoging bersama keluarga sambil menikmati keindahan Taman Puteri Saadong.

"Di Wakaf Bharu tidak mempunyai banyak tempat riadah sebelum ini, jadi dengan langkah menaik taraf Taman Puteri Saadong dapat menyediakan kemudahan riadah lebih sempurna.

“Inisiatif seperti ini wajar dikembangkan ke lokasi lain termasuk Medan Usahawan di Tumpat dan wajar dipertimbangkan sebagai projek di bawah Kementerian Ekonomi pada masa hadapan,” katanya.


 

 

Post a Comment

0 Comments