Polisi 30 peratus calon wanita sertai pilihan raya

 

Oleh Intan lestari

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menggubal dasar bagi memastikan setiap parti politik memberi ruang sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam setiap pilihan raya.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, langkah itu penting bagi memastikan suara wanita di ketengah di peringkat kepimpinan negara secara lebih seimbang serta inklusif.

Katanya, tidak seharusnya golongan wanita dipinggirkan dalam arus pembangunan negara kerana peranan mereka begitu besar.

Selain itu kata beliau, masyarakat juga perlu mengubah persepsi dan tidak memandang 'sebelah mata' terhadap keupayaan wanita.

"Lebih banyak ruang perlu diberikan kepada wanita untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai sektor termasuk politik, ekonomi dan sosial.

“Ini penting bagi memastikan pembangunan negara lebih menyeluruh dan adil kepada semua lapisan rakyat," katanya dalam sesi dialog musim kedua bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sri Nancy Shukri baru-baru ini.

Siti Zailah juga berkata pertambahan jumlah pengundi muda berikutan umur kelayakan mengundi diturun kepada 18 tahun menjadikan lebih 50 peratus daripada keseluruhan pengundi terdiri daripada golongan muda.

Malah, pengundi wanita juga melebihi 50 peratus di kebanyakan kawasan pilihan raya.

Menurutnya peningkatan itu menunjukkan potensi besar belia dan beliawanis dalam menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

“Namun masih wujud jurang ketara dalam penyertaan mereka di peringkat kepimpinan terutamanya dalam bidang politik.

“Sedangkan wanita di institusi pengajian tinggi awam dan swasta menunjukkan pencapaian akademik lebih tinggi berbanding lelaki,” katanya.

Justeru, kata beliau, kemampuan dan kepakaran mereka wajar diiktiraf serta diberi ruang lebih luas dalam proses membuat keputusan nasional.

Beliau berkata, sekarang hanya 30 wanita memiliki kerusi di Parlimen berbanding 192 lelaki, iaitu bersamaan 13.5 peratus daripada keseluruhan Ahli Parlimen.

"Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang keadilan dan keseimbangan dalam penggubalan dasar negara," ujarnya.

 

 

 

Post a Comment

0 Comments