Bertani, ibadah teras hala tuju pertanian Kelantan – Exco Pertanian


Oleh: Asri Hamat
Kredit Foto: Unit Media Exco

TANAH MERAH, 2 November – Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan hala tuju yang jelas dalam pembangunan sektor pertanian menerusi gagasan “Bertani Satu Ibadah” di bawah Gerakan Pertanian Al-Falah (GEPA).

Penetapan hala itu tersebut sebagai usaha menjadikan pertanian bukan sekadar sumber ekonomi, tetapi juga satu bentuk ibadah dan jihad pembangunan ummah.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata konsep tersebut menjadi dasar dan falsafah kerja yang perlu diterap dalam diri setiap warga Jabatan Pertanian.

“Apabila kita menanam, membaja, membimbing petani, mengurus projek atau menilai hasil, setiap peluh dan usaha itu terhitung sebagai ibadah jika dilakukan dengan niat yang betul dan penuh amanah,” katanya ketika merasmikan Program Khemah Kerja Pengurusan Pembajaan Tanaman Durian anjuran Kesatuan Penolong Pegawai Pertanian Semenanjung Malaysia Cawangan Kelantan 2025, di Tok Ma Agrofarm Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Beliau turut memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Tiada seorang Muslim yang menanam tanaman, lalu dimakan oleh manusia, burung atau binatang, melainkan itu menjadi sedekah baginya.
(Hadis Riwayat al-Bukhari).


Menurutnya, hadis tersebut menggambarkan betapa luasnya ganjaran bagi mereka yang bekerja dalam sektor pertanian dengan niat yang ikhlas.

"Kerja kita di Jabatan Pertanian ini bukan kerja biasa. Kita menyumbang kepada rezeki umat, menjamin bekalan makanan, dan memelihara bumi Allah. Inilah jihad dalam dunia pertanian, membangun tanah, menghidupkan sumber alam, dan memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Kelantan kini menumpukan kepada beberapa bidang utama dalam menjayakan GEPA, antaranya ialah pengukuhan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan, pemerkasaan industri asas tani, pembangunan tanah terbiar, kemajuan industri padi dan penggunaan baja organik, serta pengukuhan keselamatan makanan (food security) untuk rakyat Kelantan.

Mengulas lanjut, Dato’ Tuan Mohd Saripudin menjelaskan bahawa kejayaan pelaksanaan Gerakan Pertanian Al-Falah memerlukan komitmen padu dan kerja berpasukan daripada semua lapisan kakitangan dari peringkat pengurusan hingga petugas lapangan.

"Kitalah yang menjadi wajah sebenar pertanian Kelantan di mata masyarakat, yang turun padang, memberi tunjuk ajar, membimbing petani, dan memastikan setiap dasar sampai ke akar umbi," tambahnya.



Dato' Tuan Mohd Saripudin turut menekankan tiga perkara utama dalam menjayakan misi halatuju pertanian Negeri.

"Semangat kerja berpasukan.
Tidak kira di mana kita ditempatkan samada di pejabat, ladang atau di pusat pertanian, kita semua memainkan peranan penting dalam satu misi bersama.

"Integriti dan tanggungjawab.
Jabatan Pertanian mempunyai reputasi tinggi. Kekalkan budaya kerja amanah, cekap, dan mesra rakyat. Jadikan setiap tugasan sebagai ibadah.

"Inovasi dan perubahan minda.
Pertanian hari ini bukan sekadar membajak tanah tetapi mengurus teknologi, data, dan kreativiti. Semua warga jabatan mesti berani mencuba kaedah baharu dan sentiasa memperbaiki cara kerja," tegasnya.

Program berkenaan menghimpunkan 125 penolong pegawai pertanian dari seluruh negeri bagi memperkukuh ilmu teknikal dalam pengurusan pembajaan tanaman durian, selaras dengan usaha mempertingkat hasil dan kualiti buah-buahan tempatan.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan Murniwati Mohamad, Pengerusi Kesatuan Penolog Pegawai Pertanian Semenanjung Malaysia cawangan Kelantan 2025 Alias Muhammad dan Pengurus Tok Ma Agrofarm Sdn Bhd Lotfi Yusoff.



Post a Comment

0 Comments