KOTA BHARU — Satu dekad selepas pemergian Tok Guru Tan Sri Dato Bentara Setia Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebuah buku baharu berjudul 'Ayah' dilancar hari ini, 17 November 2025, menghimpunkan catatan keluarga terdekat tokoh yang menjadi rujukan penting dalam sejarah politik Islam.
Berbeza dengan puluhan biografi, transkrip ceramah dan tulisan politik mengenai mantan Menteri Besar Kelantan itu, buku ini menawarkan perspektif yang lebih peribadi; bukan dari sudut pentas siasah, tetapi dari meja makan, perjalanan keluarga dan detik harian yang jarang diketahui umum.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob, Mantan Menteri Besar Kelantan dalam Seminar Ketokohan Tok Guru 4.0, sebuah program anjuran bersama IPTG dan KIAS yang menghimpunkan pemimpin Kerajaan Negeri, Ahli- Ahli Yang Berhormat, para pengkaji, pemimpin masyarakat dan keluarga Nikmatillah.
Naskhah tersebut menghimpunkan tulisan lima individu daripada generasi berbeza dalam keluarga: adik beliau Nik Din Nik Mat; anaknya Nik Amalina Nik Abdul Aziz; menantu, Nik Yusri Musa; anak saudara, Nik Hamdi Ab Ghani; serta cucu, Nik Mohd Thalhah Ahmed Pakaruldin. Lima suara ini membawa pembaca menyelusuri kehidupan harian Tok Guru yang jarang dirakam kamera.
Penerbit buku yang juga Pengarah IPTG, Profesor Emeritus Dato' Dr Johari Mat menyatakan penerbitan buku tersebut merupakan usaha berterusan IPTG untuk memulihara dan memelihara khazanah ilmu Tok Guru.


0 Comments