Oleh: Asri Hamat
Kredit Foto: Unit Media Exco
Kredit Foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 18 November — Tema Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2025, “Revitalisasi Bandar: Agenda Perancangan untuk Ummah”, disifatkan paling tepat dengan hala tuju pembangunan Kelantan yang memberi tumpuan kepada konsep bandar hidup.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal menegaskan bahawa revitalisasi bukan hanya proses memperbaharui rupa fizikal kota atau mendirikan struktur baharu. Sebaliknya, ia menekankan usaha menghidupkan kembali fungsi bandar sebagai ruang kehidupan yang menyuburkan ilmu, kesejahteraan dan keterangkuman sosial.
“Revitalisasi membawa erti memperbaharui nadi ekonomi tempatan, memperkukuh jaringan sosial, memperindah ruang awam serta memastikan persekitaran lebih selamat, selesa dan berdaya budi. Pembangunan sebenar ialah pembangunan yang membina jiwa, bukan sekadar mendirikan bangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan HPBS 2025 peringkat Negeri Kelantan, mewakili Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Beliau berkata tema HPBS tahun ini turut seiring dengan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang menjadi paksi pembangunan Kelantan sejak sekian lama.
“PMBI menekankan keseimbangan antara kemajuan fizikal dan rohani; antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar; serta antara keperluan masa kini dan manfaat untuk generasi akan datang,” jelasnya.
Kerajaan negeri, melalui PlanMalaysia@Kelantan, terus komited memastikan perancangan bandar yang holistik, mampan dan berpaksikan nilai Islam dapat direalisasikan di seluruh negeri, seiring visi menjadikan Kelantan sebagai negeri berkota sejahtera untuk ummah.



0 Comments