Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 17 November - Allahyarham Tuan Guru Tan Sri Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh disifatkan sebagai tokoh yang menggabungkan kewibawaan ulama dan kepimpinan dalam diri seorang insan, kata mantan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yakob.
Beliau memaklumkan bahawa Allahyarham Tok Guru seorang ilmuan yang tinggi ilmunya dan pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa memandu masyarakat dengan penuh hikmah dan kesederhanaan.
“Tok Guru adalah pemimpin dan ulama yang sentiasa mengimbangkan kepimpinan dengan ilmu. Keputusan-keputusan beliau dibuat atas asas amanah kepada rakyat, berlandaskan akhlak, ilmu dan prinsip Islam."
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili YAB Menteri Besar merasmikan Seminar Ketokohan Tok Guru Bentara Setia 4.0 2025, di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurut Dato' Ahmad lagi, sifat kepimpinan Allahyarham Tok Guru selari dengan konsep mujaddid seperti disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan kepada umat ini setiap 100 tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini daripada penyimpangan.”
Jelasnya, peranan mujaddid bukanlah mencipta ajaran baharu, sebaliknya menghidupkan kembali kefahaman agama dengan menjelaskan kebenaran, mengukuhkan ilmu serta memperbaiki kefahaman umat tanpa menukar prinsip syariah.
Katanya lagi, mujaddid juga boleh terdiri daripada individu atau kelompok ulama yang berperanan melakukan pembaharuan pada zaman masing-masing.
Oleh yang demikian, Tok guru adalah mujaddid yang memandu masyarakat kepada kebenaran Islam bukan sekadar soal kuasa atau pentadbiran tetapi berpandu kepada ilmu, akhlak dan prinsip Islam.
"Setiap keputusan yang diambil oleh Tok Guru telah dirancang dengan kesedaran bahawa tanggungjawab terhadap rakyat adalah amanah yang harus dipenuhi dengan keadilan, kasih sayang dan hikmah.
“Dengan gabungan ilmu, akhlak dan kepimpinan yang dimiliki Tok Guru, beliau mampu menyatukan masyarakat yang datang daripada pelbagai latar belakang, memperkukuhkan perpaduan dan membina keharmonian,” jelasnya.
Sebanyak empat pembentangan mengenai keperibadian dan ketokohan Tok Guru dikemukakan pada majlis tersebut.
Pembentangan pertama oleh Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Prof. Dr Mazlan Ibrahim yang menyentuh aspek tafsir al-Quran dalam kuliah-kuliah Tok Guru.
Pembentangan kedua oleh Pengarah Intitut Pemikiran Tok Guru Bentara Setia, Profesor Emeritus Dato’ Dr Johari Mat yang meneliti falsafah pentadbiran Tok Guru dalam membentuk masyarakat berteraskan prinsip Islam.
Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Nirhisham Md Nawi pula menampilkan pembentangan tentang Tok Guru sebagai tokoh keamanan yang memupuk keharmonian masyarakat.
Manakala Dr Mohamad Khairulnizam Mohd Nasir dari Universiti Malaya (UM) yang membicarakan dimensi hadis dalam pemikiran dan pengajaran Tok Guru.
Daripada keseluruhan pembentangan, Dato’ Ahmad meumuskan bahawa Allahyarham Tok Guru merupakan tokoh mujaddid dalam konteks zaman ini yang merupakan seorang ulama, pemimpin, pendidik, penyatu masyarakat serta pejuang keamanan.
“Penyatuan ummah merupakan teras utama setiap tindakan Tok Guru. Islam menekankan bahawa perpaduan adalah asas kekuatan dan kesejahteraan masyarakat. Kepelbagaian bukan untuk bertelingkah, tetapi harus dihargai sebagai sumber kekuatan,” katanya.
Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Dato' Md Anizam Ab Rahman, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dsto' Rohani Ibrahim dan Ahli Dewan Negara YB Senator Dr. Wan Martina Wan Yusof.




0 Comments