Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 24 November – Situasi banjir yang melanda Kelantan tahun ini disifatkan berbeza sama sekali berbanding kebiasaan, menurut Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Kata beliau, lazimya banjir di negeri Kelantan berlaku apabila hujan berterusan melanda kawasan hulu seperti Gua Musang dan Kuala Krai, sebelum aliran air meningkat dan menyebabkan paras Sungai Kelantan naik, sekali gus memberi kesan kepada kawasan hilir seperti Kota Bharu dan Pasir Mas.
“Begitu juga dengan kawasan sepanjang Sungai Golok yang bermula di Jeli dan berakhir di Rantau Panjang serta Tumpat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Ahad.
Namun, katanya, keadaan kali ini amat berbeza apabila hujan lebat hanya tertumpu di kawasan hilir, menyebabkan beberapa daerah seperti Kota Bharu, Tumpat dan Bachok dilanda banjir lebih awal daripada kebiasaannya.
“Insya-Allah, kerajaan negeri bersama agensi negeri dan Persekutuan akan terus bertungkus-lumus memastikan keselamatan, kebajikan dan bantuan untuk para mangsa dapat disegerakan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru supaya rakyat sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pemindahan awal apabila diperlukan serta memberikan kerjasama demi memastikan keselamatan bersama.
“Semoga Allah melindungi kita semua daripada segala musibah dan mengurniakan kekuatan dalam menghadapi ujian ini. Amin,” katanya.
Terdahulu, YAB Menteri Besar mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2 bagi meninjau keadaan mangsa serta pengurusan bantuan di lokasi berkenaan.
Selain itu beliau turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS tersebut.




0 Comments