Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 24 November — Suasana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tapang bertambah ceria dengan gelagat kanak-kanak yang baharu dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air berikutan banjir yang melanda kawasan tersebut.
"Pok Cik, mujur kito dey lari mari ssini. Umoh kito naik air doh" celoteh seorang kanak-kanak kepada Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, sebagaimana dikongsikan beliau menerusi hantaran di media sosialnya pada Ahad.
Menurutnya, keletah kanak-kanak di PPS tersebut sedikit sebanyak menghilangkan kepenatan para petugas serta memberi keceriaan kepada semua mangsa yang berada di pusat pemindahan.
“Adik-adik duduk molek deh. Nanti Pok Cik suruh orang jamu makan sedak-sedak,” ujar beliau ketika menyantuni mangsa banjir.
YAB Menteri Besar melakukan lawatan ke PPS Tapang dan menerima laporan ringkas daripada Ketua Jajahan Kota Bharu, Rusydee Abdullah mengenai jumlah mangsa yang terjejas, PPS yang telah dibuka serta tindakan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Dalam pada itu, beliau juga mengambil peluang menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir, sambil mendoakan agar segala usaha mereka mendapat ganjaran daripada Allah SWT.



0 Comments