Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 30 November – Sukan Kelantan (SUKEL) 2025 merekodkan penyertaan besar sebanyak 1,711 atlet tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen negeri dalam usaha pembangunan bakat sukan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) atas penganjuran temasya itu yang telah berlangsung pada 17 Oktober hingga 10 November 2025.
Menurutnya, penganjuran SUKEL tahun ini lebih tersusun selepas mandat penuh diberi kepada MSNK, selaras dengan objektif asal untuk memberi tumpuan kepada pembangunan atlet di bawah pihak berautoriti.
“SUKEL 2025 merekodkan penglibatan keseluruhan 2,478 orang melibatkan 19 jenis sukan dan 158 acara.
"Seramai 1,711 atlet mengambil bahagian dengan pecahan 1,240 atlet lelaki dan 471 atlet wanita, dengan sokongan 320 pegawai serta pengurus pasukan dan digerakkan oleh 447 orang urus setia,” katanya dalam kenyataan rasmi pada Khamis.
Antara sukan yang dipertandingkan termasuk Boling Padang, Bola Keranjang, Bola Tampar, Skuasy, Sepak Takraw, Bola Jaring, Tenis, Olahraga, Petanque, Muay Thai, Pelayaran, Catur, Badminton, Hoki, Taekwondo, Memanah, E-Sport, Seni Silat/Silat Olahraga dan Berbasikal.
"Sebanyak 1,051 pingat dipertandingkan, terdiri daripada 314 pingat emas, 314 pingat perak dan 423 pingat gangsa" katanya
YB Zamakhshari berkata, penganjuran SUKEL bukan sekadar acara pertandingan, tetapi platform penting untuk bakat baharu memperkenalkan diri di pentas yang lebih besar.
“Kepercayaan besar ini digalas dengan sangat baik oleh MSN. Tahniah kepada MSN, semua atlet, pegawai serta seluruh urus setia SUKEL 2025 atas kejayaan besar ini. Komitmen ini membuktikan Kelantan sentiasa bersedia melahirkan generasi atlet yang mampu bersaing di peringkat tertinggi,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa SUKEL menjadi medan penting dalam persiapan ke SUKMA Selangor 2026, serta langkah awal membentuk atlet bagi SUKMA 2028, ketika Kelantan menjadi tuan rumah.
“Pengalaman bertanding di SUKEL membuka mata bahawa negeri ini memiliki bakat baharu yang berpotensi besar. Mereka inilah yang akan menjadi sandaran Kelantan di SUKMA 2026 dan 2028,” ujarnya.

0 Comments