Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 6 November – Kerajaan Negeri Kelantan membentangkan Belanjawan Negeri Kelantan 2026 berjumlah RM1.43 bilion, hari ini.
Bertemakan Kelantan Sejahtera: Prihatin Rakyat, Ekonomi Berkat dan Negeri Rahmat, belanjawan berkenaan menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Menurut Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, belanjawan 2026 digerakkan di bawah kerangka dasar Kelantan Sejahtera, berteraskan Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (MBI) 2023–2033.
Tambahnya, belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada empat teras utama.
Teras pertama ialah pembelaan dan pemberdayaan rakyat dengan peruntukan RM67.27 juta.
Teras kedua melibatkan keterjaminan makanan dan kemampanan ekonomi yang diperuntukkan dana RM81.77 juta.
Manakala, teras ketiga pula kesejahteraan rakyat dan kelestarian negeri, RM95.08 juta dan teras keempat yang paling utama ialah pembangunan Islam, pendidikan dan modal insan, dengan peruntukan RM181.71 juta.
Menariknya, bajet negeri tersebut juga mencatat pengurangan defisit kepada RM86.2 juta berbanding RM93.02 juta pada tahun 2025, iaitu pengurangan sebanyak RM6.82 juta atau 7.33 peratus.
Menurut Menteri Besar Kelantan, pencapaian itu diraih melalui pelarasan semula peruntukan bawah Wang Terkanun serta penyusunan semula pinjaman kerajaan negeri yang kini diuruskan melalui Kumpulan Wang Amanah Pinjaman Kerajaan Negeri Kelantan.
Beliau menekankan bahawa langkah itu meningkatkan kawalan fizikal sekali gus memperkukuh tadbir urus kewangan kerajaan negeri bagi memastikan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan perbelanjaan awam.
"Semua jabatan dan agensi negeri diingatkan agar terus mengamalkan budaya kerja yang berintegriti dan berhemat, selari dengan prinsip pengurusan ihtirafi yang menjadi teras pentadbiran kerajaan negeri " jelasnya.

0 Comments