Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Pejabat Perikanan Negeri Kelantan
Kredit foto: Pejabat Perikanan Negeri Kelantan
Jika ditelusuri denyut kehidupan masyarakat desa hari ini, salah satu perubahan paling ketara ialah kampung-kampung tradisional makin beralih daripada ekonomi sara diri kepada ekonomi berasaskan ilmu, teknologi dan jaringan sokongan yang tersusun.
Danau To’ Uban (DTU) di Pasir Mas ialah contoh paling hidup tentang perubahan ini. Sebuah danau yang dahulu sunyi bertukar menjadi medan rezeki moden yang menghubungkan dasar kerajaan, aspirasi rakyat dan mobiliti sosial keluarga desa.
Apa yang berlaku di Danau To’ Uban bukan sekadar peningkatan angka pengeluaran ikan atau bilangan sangkar yang bertambah, tetapi transformasi budaya kerja, cara berfikir dan harapan sosial masyarakat setempat.
Desa bukan lagi dianggap kawasan pinggiran, tetapi ruang eksperimen pembangunan yang membuktikan bahawa apabila akses, ilmu dan sokongan diagihkan secara adil, masyarakat akar umbi mampu bergerak naik bersama.
Pertumbuhan yang membangunkan manusia
Antara tahun 2021 hingga 2024, pengeluaran akuakultur melonjak daripada 110 tan metrik kepada 227 tan. Pencapaian ini menggambarkan kemajuan ekonomi dan pembentukan kelas pertengahan desa baharu yang lebih stabil dari sudut pendapatan dan lebih profesional dari segi pengurusan.
Keaktifan 86 penternak mengusahakan lebih 700 sangkar menunjukkan bagaimana perubahan ekonomi mencorak struktur sosial positif yang menggambarkan keluarga lebih terjamin, belia kembali menilai desa sebagai ruang masa depan, dan komuniti lebih yakin untuk terlibat dengan teknologi serta inovasi.
ZIA: Keadilan akses yang mengangkat martabat komuniti
Pengisytiharan Zon Industri Akuakultur (ZIA) pada tahun 2021 membuka jalan kepada satu perkara penting dalam pembangunan iaitu kesaksamaan akses.
Sangkar galvanized, rumah operasi, benih terjamin dan sistem bantuan yang lebih telus menjadikan penternak berpeluang memulakan usaha tanpa beban modal terlalu besar. Dalam istilah sosiologi, ini merupakan intervensi yang meratakan peluang agar masyarakat boleh bergerak maju secara kolektif.
Hasilnya jelas, jurang kemahiran mengecil, produktiviti meningkat, dan wujud solidariti kerja sesama penternak.
Impak rantaian ekonomi dan social
Apabila nilai industri mencecah RM1.8 juta, limpahan ekonominya bergerak melangkaui sangkar. Pembekal makanan ikan, mekanik sangkar, pengusaha bungkusan, pembekal ais, pengangkut dan usahawan mikro turut mendapat ruang pendapatan baharu.
Ekosistem ini membentuk satu rantaian sosial yang lebih kukuh yakni keluarga memiliki pendapatan stabil, anak-anak dapat peluang pendidikan lebih baik, dan masyarakat mula mengalami peningkatan taraf hidup yang nyata dan konsisten.
Kelestarian pada skala makro
Momentum pembangunan ini menjadi semakin mantap apabila dasar negeri memperkukuh kerja-kerja lapangan melalui sokongan fiskal yang strategik. Di bawah fokus keterjaminan makanan dan kemampanan ekonomi, sebanyak 11.6 peratus, bersamaan RM118.32 juta, daripada Belanjawan 2026 bernilai RM1.02 bilion diperuntukkan khusus untuk meningkatkan kualiti pertanian serta memperkukuh zon makanan negeri.
Peruntukan signifikan ini mengesahkan bahawa pembangunan Danau To’ Uban terjalin kukuh dalam rangka besar strategi makro negeri yang berhasrat untuk memperkukuh bekalan makanan sebagai sektor strategik, mengurangkan kebergantungan kepada import, merancakkan inovasi dan kecekapan pengeluaran, serta memantapkan ekosistem pertanian air sebagai salah satu tunggak ekonomi masa hadapan.
Peruntukan ini memperlihatkan hubungan timbal balik yang sihat antara pendekatan dasar negeri menyediakan landasan dan kejelasan hala tuju, manakala komuniti di lapangan membuktikan keberkesanannya melalui peningkatan pendapatan, kemahiran serta mobiliti sosial yang makin ketara.
Peningkatan hasil stabil
Kampung Rasal Danau To’ Uban–Sungai Lemal, penyumbang lebih 60 peratus hasil keseluruhan danau, turut memperlihatkan peningkatan stabil setiap tahun. Cadangan untuk mengintegrasikan kawasan ini ke dalam ZIA adalah langkah mewujudkan standard yang seragam, memudahkan pemantauan risiko dan merapatkan jurang antara penternak berpengalaman dan penternak baharu.
Penyatuan ini penting kerana sebuah industri desa yang besar hanya mampu bergerak jauh apabila seluruh komponen bergerak seirama.
Ruang pelancongan ilmu
Dengan perairan yang luas, sangkar yang tersusun dan komuniti yang mesra pelawat, Danau To’ Uban memiliki potensi besar sebagai destinasi agro-ekopelancongan. Laluan pejalan kaki, kiosk produk segar, pusat interpretasi dan restoran terapung bagi menambah pendapatan dan memperkenalkan masyarakat desa sebagai pemegang ilmu, bukannya pengeluar ikan semata-mata.
Ini menukar naratif desa daripada pembekal sumber mentah kepada pengelola pengalaman dan pengetahuan.
Teknologi hijau menyempurnakan naratif pembangunan
Pengiktirafan antarabangsa terhadap Loji Tenaga Solar Terapung Danau Tok Uban sebagai Projek Terbaik Dunia 2025 meletakkan kawasan ini pada peta global. Gabungan akuakultur moden dan teknologi hijau membentuk ekosistem pembangunan yang melangkaui kebiasaan berkonsepkan desentralisasi tenaga, kelestarian biodiversiti dan sinergi dengan komuniti.
Di sinilah terbentuknya identiti baharu masyarakat setempat refleksi desa yang moden, lestari dan mampu berbangga dengan teknologi bertaraf dunia.
Cerminan desa masa depan
Danau To’ Uban hari ini bukanlah hanya tapak ternakan ikan. DTU merupakan model transformasi sosial yang menyeluruh, menggabungkan dasar negeri yang responsif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat serta infrastruktur moden yang meningkatkan kecekapan dan profesionalisme.
Termasuklah, kesaksamaan akses melalui pelaksanaan ZIA yang menyusun peluang secara adil, limpahan ekonomi yang meresap ke seluruh komuniti desa serta sokongan belanjawan negeri yang konsisten terhadap keterjaminan makanan dan kelestarian sumber.
Ditambah pula dengan suntikan fiskal yang besar dalam Belanjawan 2026, ekosistem ini dijangka terus berkembang, memperkukuh zon makanan negeri serta membantu masyarakat desa bergerak ke arah mobiliti sosial yang lebih stabil dan inklusif.
Pendek kata, DTU simbol kejayaan akuakultur moden. Lokasi ini juga gambaran masa depan desa Kelantan yang berdaya saing, inovatif, lestari dan teguh berpaksikan kesejahteraan rakyat sebagai teras pembangunan.






0 Comments