Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB Datuk Kamarudin Md Nor
Kredit foto: FB Datuk Kamarudin Md Nor
KOTA DARULNAIM, 19 November - Kunjungan hormat delegasi Kerajaan Negeri Kelantan yang di Ketuai oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor ke pejabat Datuk Bandar Betong, Thailand membuka ruang baharu industri pelancongan dan memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama strategik antara kedua-dua wilayah.
Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pertemuan tersebut amat bermakna dalam mempererat hubungan sedia ada selain membincangkan peluang baharu khususnya dalam sektor pelancongan.
Delegasi Kelantan menerima sambutan mesra daripada Timbalan Datuk Bandar Betong Sabree Daemoh yang mewakili Datuk Bandar Betong Chai Vongnittayalup.
Menurut Datuk Kamarudin, perbincangan yang berlangsung sangat konstruktif dan memberi ruang untuk pihaknya meneliti model pengurusan bandar Betong yang terkenal dengan pendekatan tersusun serta mesra pelancong.
“Beberapa cadangan kolaboratif turut dibincangkan, termasuk pembangunan produk rentas sempadan, pengurusan bandar pelancongan serta perkongsian kepakaran dalam membina pengalaman destinasi yang lebih berkualiti,” katanya menerusi media sosial pada Rabu.
Beliau berharap jalinan kerjasama tersebut mampu membuka lebih banyak peluang baharu yang memberi manfaat kepada rakyat dan industri pelancongan kedua-dua wilayah.
Dalam rangka lawatan itu, delegasi yang turut disertai wakil Majlis Daerah Jeli (MDJ) dan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) berkesempatan melawat Winter Flower Garden, atau Suan Muen Buppha di Betong, Yala.
Datuk Kamarudin berkata, lawatan berkenaan memberi peluang besar kepada pihaknya mempelajari teknik penanaman, penjagaan serta pengurusan taman bunga beriklim sejuk yang menjadi tarikan utama daerah tersebut.
Winter Flower Garden yang menampilkan ribuan spesies bunga seperti krisan, mawar, aster dan lili berkembang subur di kawasan tanah tinggi Betong, menjadikannya destinasi bak “musim sejuk” di selatan Thailand.
“Lawatan ini amat bermanfaat dalam usaha Kerajaan Negeri Kelantan, dengan sokongan pemain industri pelancongan, untuk meneroka potensi mewujudkan tarikan taman berkonsepkan flora dan landskap berwarna-warni di negeri kita,” ujarnya.
Beliau menambah, pihaknya berharap kunjungan ini dapat membuka ruang kerjasama, pertukaran kepakaran dan perancangan jangka panjang agar Kelantan turut memiliki tarikan taman bunga bertaraf antarabangsa pada masa hadapan sekali gus memperkaya ekosistem pelancongan negeri.





0 Comments