Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 20 November – Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan bahawa aktiviti ternakan ikan dalam sistem sangkar terapung di Danau To’Uban, Pasir Mas terus menunjukkan perkembangan positif sejak mula diusahakan pada tahun 2010.
"Projek ini bermula dengan ternakan keli, patin dan tilapia dan sehingga 2025 terdapat 86 penternak berdaftar yang mengusahakan 725 unit sangkar melibatkan keluasan 8,907 meter persegi” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau memaklumkan bahawa pengeluaran ternakan juga meningkat secara konsisten iaitu 110 tan metrik pada 2021, 157 tan metrik pada 2022, 192 tan metrik pada 2023 dan mencapai 227 tan metrik pada tahun 2024 dengan nilai RM1.8 juta.
Aktiviti ternakan di Danau To’Uban kini beroperasi di tiga lokasi utama mengikut kesesuaian penternak.
"Lokasi pertama ialah Jeti Danau To’Uban yang menempatkan 14 penternak dengan 207 petak sangkar termasuk 30 petak sangkar besi galvanized yang dipinjamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia pada tahun 2021. Lokasi ini merekodkan pengeluaran 41 tan metrik pada 2022, 32 tan metrik pada 2023 dan 37 tan metrik pada 2024" jelasnya.
Lokasi kedua ialah Rong Chenok yang mempunyai 16 penternak dan 136 petak sangkar termasuk 40 sangkar besi galvanized yang diberi pinjaman pada 2022. Pengeluaran di kawasan ini ialah 21 tan metrik pada 2023 dan meningkat kepada 33 tan metrik pada 2024.
Sementara itu, lokasi ketiga iaitu Kampung Rasal Danau To’Uban – Sungai Lemal merupakan kawasan terbesar dengan 56 penternak dan 385 petak sangkar.
"Pengeluaran di lokasi ini turut meningkat setiap tahun iaitu 117 tan metrik pada 2022, 139 tan metrik pada 2023 dan 157 tan metrik pada 2024," jelasnya.
Dari segi pembangunan, seluas 40 hektar kawasan Danau To’Uban telah diisytiharkan sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2020 dan diumumkan secara rasmi pada April 2021.
Dua lokasi iaitu Jeti Danau To’Uban dan Rong Chenok berada dalam kawasan ZIA tersebut.
Menurut Dato' Tuan Mohd Saripudin, usaha memperkukuh industri itu turut menerima sokongan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Jelasnya, pada tahun 2019 dan 2020, sebanyak RM300,000 disalurkan kepada penternak aktif, manakala pada tahun 2023 Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM140,000 bagi pembinaan sangkar baharu.
"Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan 30 sangkar besi dan sebuah rumah operasi bernilai RM194,900 pada 2021, selain 48 sangkar besi tambahan serta satu rumah operasi bernilai RM420,371 pada tahun 2022. Bantuan benih patin dan pukat hapa juga diagihkan kepada penternak berkelayakan,” ulasnya.
Tambahnya, terdapat perancangan untuk mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya lokasi ketiga di Kampung Rasal Danau To’Uban – Sungai Lemal turut dimasukkan ke dalam kawasan ZIA bagi memastikan pembangunan dapat dijalankan secara lebih menyeluruh.
Jabatan Perikanan Negeri Kelantan turut mensasarkan pembinaan 1,000 petak sangkar serta peningkatan jumlah penternak kepada 160 orang menjelang tahun 2030, dengan anggaran setiap penternak mampu mengusahakan antara empat hingga lapan sangkar.
Dato' Tuan Mohd Saripudin juga berkata kawasan ZIA Danau To’Uban juga mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai lokasi agro pelancongan berasaskan keunikan alam setempat.
"Kerjasama pelbagai pihak diperlukan bagi menyediakan kemudahan awam, merancang aktiviti serta memperkukuh hebahan bagi mempromosikan hasil ternakan akuakultur kepada masyarakat" ujarnya.

0 Comments