Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 20 November – Sebanyak 41 buah taska swasta di seluruh Kelantan menerima Insentif Khas Taska 2025 dengan jumlah keseluruhan RM205,000, sebagai sokongan kerajaan negeri bagi meningkatkan mutu asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Majlis Penyampaian Insentif tersebut dirasmikan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau menekankan bahawa pengasuh memainkan peranan penting dalam membentuk generasi beriman dan bertakwa sejak usia awal.
“Pengasuh perlu berusaha mendidik generasi hari ini supaya negara kita dapat melahirkan generasi yang beriman dan bertakwa,” katanya.
Menurut Dato’ Rohani, kerajaan negeri menjadikan pendidikan dan pembentukan manusia sebagai dasar asas melalui Dasar Membangun Bersama Islam, yang menekankan aspek akhlak dan sahsiah dalam setiap institusi masyarakat.
“Mendidik manusia adalah asas pentadbiran kerajaan negeri. Kita peduli dan cakna bagaimana taska mendidik anak-anak ini.
"Didiklah mereka dengan baik, semoga ada saham dalam pembentukan generasi akan datang,” katanya.
Bantuan insentif diberikan dalam bentuk barangan asas taska seperti peralatan pendidikan awal, kebersihan, keselamatan dan keperluan operasi, serta baik pulih taska termasuk penyelenggaraan asas, menaik taraf ruang pembelajaran dan meningkatkan standard keselamatan.
Tambah Dato' Rohani, insentif berkenaan diberikan untuk mengukuhkan kualiti asuhan dan pendidikan awal, membantu pengusaha taska beroperasi lebih cekap pasca keadaan ekonomi semasa, dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selamat serta selaras dengan nilai Islam.


0 Comments