Dato' Mumtaz tinjau mangsa banjir di Tumpat sejurus pulang dari luar negara


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Mumtaz

TUMPAT, 26 November – Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi yang baru kembali dari Pakistan selepas menerima anugerah Women As Architect of Change sempena Himpunan Jamiat Islami di Lahore, Pakistan terus bergegas ke lokasi banjir bagi meninjau kebajikan mangsa di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Beliau sempat melawat tujuh PPS iaitu SK Pengkalan Kubor 2, SMK Geting, SK Tumpat 1, SK Tumpat 2, SK Berangan 1, SK Kutan dan SK Kubang Batang, Wakaf Bharu pada 24 dan 25 Oktober.

Dato' Mumtaz menzahirkan penghargaan terhadap komitmen tinggi semua petugas yang membantu menguruskan pemindahan dan keselamatan mangsa.


“Hati ini sangat tersentuh melihat kesungguhan semua yang membantu operasi pemindahan dan penyelamatan mangsa banjir. Terima kasih. Setiap titik peluh kalian sangat bermakna,” katanya di laman rasmi semalam.

Beliau turut menitipkan doa dan kata semangat buat mangsa di PPS.

“Buat semua mangsa banjir, semoga Allah SWT memberi kekuatan dan ketenangan dalam melalui saat sukar ini. Moga setiap langkah kalian dipermudahkan.”


Dalam lawatan tersebut, Dato' Mumtaz turut menghulurkan sedikit bantuan makanan dan minuman untuk digunakan di PPS.

“Kak Taz juga menghulurkan sedikit bantuan untuk makanan dan minuman di PPS. Tidak banyak, tapi cukup untuk sama-sama berkongsi beban dan memberikan sedikit lega di tengah kesusahan,” ujarnya.

Beliau berharap seluruh penduduk Tumpat kekal tabah dan terus berhati-hati sepanjang fasa banjir tahun ini.



Post a Comment

0 Comments