Tanpa integriti, kepercayaan rakyat terhakis – Dato’ SUK Kelantan


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 26 November - Integriti menjadi penentu utama kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam, dan tanpa amalan nilai tersebut, imej kerajaan akan tercalar serta keyakinan rakyat akan terhakis.

Penegasan itu disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Dewan Teratai, pada Selasa.

Menurutnya, setiap penjawat awam wajib memelihara integriti secara konsisten kerana ia merupakan asas sahsiah dalam melaksanakan amanah, mematuhi undang-undang serta memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik dan bebas daripada salah guna kuasa.

“Tanpa integriti, imej perkhidmatan awam akan tercalar dan kepercayaan rakyat akan terhakis,” tegasnya.


Katanya lagi, kesedaran integriti bermula daripada tindakan kecil yang memberi kesan langsung kepada imej kerajaan. Justeru, keberanian moral untuk menolak, menegur dan melaporkan salah laku merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi.

“Budaya menegur secara berhemah, mematuhi standard profesionalisme dan memikul tanggungjawab terhadap amanah yang diberi perlu diperkasakan. Kita bukan bekerja sekadar untuk makan gaji, tetapi melaksanakan amanah yang akan dipersoalkan kelak,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa era pendigitalan mampu memperkukuh integriti dengan mewujudkan sistem kerja yang telus serta mengurangkan interaksi manusia dalam proses pentadbiran. Antara inisiatif digital yang diberi penekanan ialah Sistem Hasil Tanah Kelantan (E-SHTK), e-Pelaburan dan e-Aduan, sebagai saluran selamat untuk melaporkan salah laku.

Menurutnya, sistem-sistem berkenaan dapat memastikan urusan lebih mudah dijejaki, meminimumkan risiko salah guna kuasa dan memupuk budaya bertanggungjawab dalam pentadbiran negeri.

Mengulas lanjut, Dato’ Dr. Tengku Faziharudean memaklumkan bahawa kerajaan negeri komited memperkukuh tadbir urus melalui pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) 2025–2029, melibatkan 11 Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) serta 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


Pelan itu menggariskan sistem pencegahan rasuah, kawalan dalaman serta pemantauan risiko salah laku sebagai komitmen kolektif meningkatkan ketelusan dan kecekapan pentadbiran negeri.

Beliau juga menyeru semua ketua jabatan memastikan laporan pelaksanaan OACP disediakan dan dikemaskini secara berkala kepada urus setia pemantauan.

“Dengan sokongan penuh penjawat awam, saya yakin pelan ini mampu menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan berintegriti,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments