Integriti mesti jadi budaya hidup penjawat awam dan rakyat - TMB Kelantan


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 26 November - Penjawat awam dan rakyat diseru menjadikan integriti sebagai budaya hidup demi membina sebuah negeri dan negara yang lebih terurus, adil serta diyakini masyarakat antarabangsa.

Seruan tegas itu disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan ketika merasmikan Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim.

Beliau mewakli Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, menegaskan bahawa penghayatan nilai Ubudiyyah, Masu’liyah dan Itqan (UMI) mesti dijadikan asas integriti dalam pentadbiran negeri, kerana hanya melalui kefahaman terhadap nilai tersebut budaya kerja beramanah dapat dibina secara menyeluruh.

“Ubudiyyah menggambarkan jiwa hamba kepada Allah. Masu’liyah pula menuntut kita memikul amanah dengan penuh tanggungjawab, manakala Itqan membawa maksud bekerja dengan cekap dan mencapai hasil yang terbaik. Inilah prinsip integriti yang sebenar,” ujarnya.


Dato’ Dr. Mohamed Fadzli turut menekankan bahawa usaha memperkukuh integriti tidak boleh dipisahkan daripada realiti semasa negara.

“Merujuk kepada Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024, Malaysia berada di tangga ke-57 daripada 180 negara, kedudukan yang kekal sejak tahun lalu. Menurut Transparency International Malaysia, bagi mencapai sasaran muncul antara 25 negara paling bebas rasuah menjelang 2033, Malaysia perlu menambah sekurang-kurangnya dua mata CPI setiap tahun. Data ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi sebagai dorongan memperbaharui komitmen terhadap usaha memerangi rasuah di semua peringkat,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk dalam memperkukuh mekanisme pemantauan dalaman dan pematuhan integriti di setiap jabatan.

Dalam ucapan itu juga, Timbalan Menteri Besar turut mengingatkan semua jabatan kerajaan agar memastikan setiap aduan salah laku ditangani mengikut prosedur yang ditetapkan, tanpa kompromi.

Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri menekankan pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) sebagai alat fleksibel dan berkesan untuk mengesan, mencegah dan menambah baik kawalan antirasuah.


“Melalui ABMS, jabatan perlu membangunkan pelan antirasuah masing-masing, menjalankan penilaian risiko, melatih pegawai sebagai juru audit ABMS serta melaksanakan audit dan pemantauan berkala,” jelasnya.

Inisiatif tersebut diyakini dapat mengukuhkan tadbir urus, meningkatkan kepercayaan rakyat dan mengurangkan kerugian akibat penyelewengan, sekali gus menjadikan penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap.

Namun beliau mengakui usaha memperkukuh budaya integriti masih berdepan cabaran seperti kekangan kewangan, kekurangan pakar serta kesediaan mental dalam kalangan warga pentadbiran untuk berubah.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar penjawat awam terus menunjukkan teladan integriti dalam penampilan, sikap dan keputusan yang dibuat.

“Integriti mesti dizahirkan dalam tindakan seharian. Hanya dengan semangat ini kita mampu membina negeri dan negara yang lebih terurus dan dipandang tinggi masyarakat antarabangsa,” katanya.

Post a Comment

0 Comments