Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Datuk Marzuk
Kredit foto: Media Datuk Marzuk
PENGKALAN CHEPA, 25 November – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary merakamkan penghargaan kepada barisan hadapan seperti anggota Jabatan Amal Malaysia serta semua agensi kerajaan yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Pengkalan Chepa.
Beliau menzahirkan penghargaan khas kepada semua agensi kerajaan dan sukarelawan yang konsisten bersemangat membantu mangsa walaupun berdepan cabaran besar.
“Bukan mudah menguruskan ribuan mangsa dalam satu tempat, namun komitmen dan kepantasan mereka jelas membuktikan keikhlasan dalam berkhidmat,” katanya menerusi laman rasmi pada Ahad.
Datuk Marzuk turut turun padang menziarahi beberapa PPS dalam kawasan Pengkalan Chepa bagi meninjau keadaan mangsa dan operasi penyelarasan bantuan di peringkat lapangan.
“Sebaik tiba di Pengkalan Chepa kami terus bergerak ke PPS tanpa berlengah. Dari petang hingga larut malam, mangsa-mangsa banjir disantuni, diberi perhatian dalam suasana serba terbatas yang sedang mereka lalui,” katanya.
Antara PPS yang dikunjungi ialah SMK Raja Sakti, SK Kedai Buloh 1, SK Sering, SK Tapang, SK Sabak dan SK Parang Puting.
"Di bilik PPS, anak-anak yang terpaksa meninggalkan rumah tetap tersenyum apabila disantuni oleh petugas Pusat Khidmat Pengkalan Chepa. Sedikit buah tangan yang dibawa, walaupun sederhana, turut menceriakan suasana dan menghiburkan mereka" ujarnya.
Beliau berharap agar semua mangsa banjir terus diberi kekuatan, dipermudah urusan serta sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.



0 Comments