Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 25 November - Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan 2025 berlangsung lebih istimewa apabila diraikan bersama Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) yang disambut pada 9 Disember setiap tahun.
Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata penggabungan dua sambutan itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkukuh nilai integriti selaras usaha membanteras rasuah secara berterusan.
Beliau berkata, sejak 2009, Hari Integriti Kebangsaan diraikan pada 5 November pada setiap tahun bagi membudayakan integriti sebagai cara hidup rakyat Malaysia, bertepatan penggubalan Pelan Integriti Nasional.
“Di Malaysia, semua agensi kerajaan serta badan utama negara turut menyambut Hari Anti Rasuah Antarabangsa bagi menguatkan usaha pencegahan rasuah di semua peringkat,” katanya pada majlis tersebut.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar bagi merasmikan Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Katanya, tema sambutan tahun ini, ‘Integriti Teras Kesejahteraan Negara.'
Beliau juga menegaskan bahawa kemajuan sesebuah negeri bukan bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata tetapi dipacu kekuatan moral, etika dan rasa tanggungjawab dalam kalangan penjawat awam serta masyarakat.
Katanya, integriti bukan sekadar amanah, malah merangkumi kejujuran, sahsiah dan keselarasan antara percakapan dengan perbuatan.
“Kita di Kelantan sangat menyanjung nilai ini kerana ia memberi panduan untuk terus memelihara dan menjunjung integriti,” ujarnya.
Menurutnya, negara barat mengutamakan moral dan undang-undang, namun bagi umat Islam, akhlak membawa maksud lebih luas meliputi tanggungjawab terhadap Allah, manusia dan alam sekitar.
“Undang-undang pula berperanan menjaga keamanan dan ketenteraman awam serta memastikan nilai integriti dan sahsiah diri dipelihara,” katanya.
Tambahnya, sambutan itu turut memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap dasar pentadbiran negeri berteraskan Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI).
Dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Besar turut menyampaikan Sijil Pengurusan Anti Rasuah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang diterima oleh Setiausaha Kerajaan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa, Dato' Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal.
Dato' Dr. Mohamed Fadzli turut menyampaikan Sijil Anugerah Perlaksanaan Inisiatif Tatakelola Baik ( PIBT) kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Majlis, Daerah Tumpat (MDT), Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM), Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDB-BPI), Majlis Daerah Jeli (MDJ) dan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT).
Hadir sama, mantan Menteri Besar YB Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob, Penasihat Undang-Undang Negeri YB Dato' Idham Abdul Ghani, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Ketua-ketua Jajahan.





0 Comments