Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU:
Perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia-Amerika Syarikat (ART) pada 26
Oktober lepas mengundang kebimbangan pelbagai pihak, di mana negara dilihat
terpaksa meluntut kepada Donald Trump.
Pada perjanjian itu Malaysia dikatakan bersetuju untuk tidak mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport mineral penting dan unsur nadir bumi ke Amerika Syarikat (AS).
Klausa terbabit dipandang serius kerajaan empat negeri (SG4) memandangkan Kelantan, Terengganu dan Kedah memiliki unsur Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NREE) paling banyak di negara ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, pihaknya bertegas mempertahankan hak negeri terhadap sumber Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif.
Katanya, isu tersebut menimbulkan kebimbangan rakyat seluruh negara berikutan sikap kerajaan pusat yang dilihat tidak telus dan cuba meminggirkan negeri di bawah SG4.
“Kami menuntut penjelasan penuh dari kerajaan Persekutuan berhubung perjanjian yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat baru-baru ini.
“Pemuda PAS Kelantan kecewa sikap hipokrasi dan bermuka dua sesetengah pemimpin kerajaan pusat apabila perjanjian tersebut ditangani tanpa pengetahuan kerajaan negeri,” katanya di sini.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan bimbang kandungan ART menimbulkan persoalan besar terhadap implikasi bakal dihadapi negeri yang memiliki NREE.
Kelantan memiliki deposit NREE kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu dengan nilai mencecah ratusan bilion ringgit.
“Dalam isu royalti petroleum Kelantan dianiaya dan dipermain dengan pelbagai alasan politik, kini keadaan sama seolah-olah akan berulang dalam isu NREE.
“Ini isu maruah dan hak rakyat, bukan perkara kecil,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan secara terbuka isi penuh ART di Parlimen dan dalam Majlis Tanah Negara.
Kata beliau kerajaan negeri perlu dilibatkan secara rasmi dalam sesi perbincangan.
Menurutnya juga kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz disifatkan tersasar serta gagal meyakinkan rakyat mengenai perjanjian tersebut.
Oleh itu beliau mengajak anak muda Kelantan bersatu tanpa mengira politik dan agama mempertahankan hak negeri daripada sebarang bentuk pengkhianatan.




0 Comments