Lebih 1,000 peserta meriahkan Monsoon Run 2025


Oleh: Syamimi Manah

PASIR PUTEH, 4 November – Suasana ceria dan penuh semangat mewarnai Karnival Monsoon Run Jajahan Pasir Puteh 2025 apabila lebih 1,000 peserta berusia antara 12 hingga 60 tahun menyertai acara larian yang berlangsung di D’Rhu Rehlah, Pantai Bisikan Bayu, pada Sabtu.

Acara tahunan anjuran Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) itu turut menarik penyertaan peserta dari luar negeri termasuk Johor, Kedah, Kuala Lumpur dan Terengganu, sekali gus menonjolkan daya tarikan pantai bersejarah itu sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor, yang menyifatkan Monsoon Run sebagai inisiatif berimpak positif kepada pembangunan pelancongan tempatan.


“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian, malah memperkenalkan keindahan Pantai Bisikan Bayu sebagai destinasi riadah dan rekreasi pilihan di Kelantan,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi pada Sabtu.

Beliau berkata, sinergi antara elemen sukan, pelancongan dan komuniti yang diterapkan dalam penganjuran Monsoon Run mampu memperkukuh agenda pelancongan negeri seiring hasrat menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan pilihan di Pantai Timur.

“Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Monsoon Run kini menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan dan berpotensi menarik lebih ramai pelancong pada masa akan datang,” ujarnya.

Acara Monsoon Run turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pameran komuniti, jualan produk tempatan dan persembahan kebudayaan yang memberi peluang kepada pengunjung menikmati keunikan budaya serta hasil tangan masyarakat setempat.





Post a Comment

0 Comments