HPBS serlahkan peranan perancangan bandar inklusif, lestari


Oleh: Asri Hamat
Kredit Foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 17 November – Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia (HPBS) 2025 peringkat negeri Kelantan menyerlahkan pencapaian Kelantan sebagai Negeri Mampan 2025, sekali gus mengukuhkan peranan perancangan bandar sebagai instrumen utama meningkatkan mutu kehidupan rakyat melalui pembangunan yang teratur, inklusif dan lestari.

Setiausaha Kerajaan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal ketika merasmikan majlis bagi pihak Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, menegaskan bahawa perancangan bandar kini merentasi sempadan fizikal dan teknikal, meliputi dimensi ekonomi, sosial serta alam sekitar yang saling berkait rapat.

“Pendekatan holistik dan bersepadu amat penting supaya pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan generasi akan datang,” katanya di sebuah hotel di sini pada Ahad.


Beliau turut mengimbas sejarah perancangan bandar dalam tamadun Islam melalui pembangunan Kota Madinah oleh Nabi Muhammad SAW, yang menjadi model perbandaran teratur merangkumi tadbir urus, pendidikan, ekonomi dan keadilan sosial.

"Daripada asas itulah lahirnya bandar-bandar agung seperti Cordova, Damsyik dan Istanbul yang memadukan kemajuan fizikal dengan kesejahteraan rohani dan budaya," jelasnya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian plak dan sijil Penarafan Bandar Mampan kepada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang melepasi indeks 2025. Majlis Daerah Bachok muncul paling cemerlang dengan skor 96.96 peratus, diikuti MPKB-BRI (96.85 peratus), Majlis Daerah Machang (96.61 peratus), Majlis Daerah Gua Musang (95.24 peratus) dan Majlis Daerah Pasir Puteh (95.19 peratus).


Kelantan secara keseluruhannya mencatat 94.36 peratus, sekali gus menerima pengiktirafan Negeri Mampan 2025 oleh Menteri KPKT pada sambutan HPBS Peringkat Kebangsaan bersempena Kongres Bandar Kebangsaan dan MyCity Expo 2025 yang berlangsung di Putrajaya pada Oktober lalu.


Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Krai menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia 2025 peringkat negeri, manakala Majlis Daerah Machang diberi Anugerah Khas oleh Kerajaan Negeri.


Dalam komitmen meningkatkan mutu perkhidmatan PBT, majlis turut menyempurnakan penyerahan Wang Improvement Service Fund (ISF) berjumlah RM5,287,344.40 kepada kesemua 12 PBT, dengan agihan tertinggi diterima Majlis Daerah Pasir Puteh sebanyak RM1,464,843.47.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah bersama Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman.




Post a Comment

0 Comments