KOTA BHARU: Pihak
berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan biarpun kekurangan sumber hasil, namun
masih mampu muncul sebagai pusat pentadbiran daerah terbaik di Malaysia.
Antaranya Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) diumumkan sebagai Bandar Paling Bahagia di Malaysia 2025.
Manakala Majlis Daerah Bachok dinobatkan sebagai Bandar Paling Mampan. Dan Majlis Daerah Machang (MDM) pula menerima Anugerah Khas Kerajaan Kelantan di atas kecemerlangan kategori pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti.
MDKK kini berada pada kedudukan daerah terbaik dalam kelompok 10 bandar paling bahagia peringkat negara.
Ketua Pengarah PLANMalaysia, Dato' Dr Alias Rameli berkata, pemilihan Kuala Krai sebagai Bandar Paling Bahagia dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang dalam 42 indikator kebahagiaan.
Ia meliputi tahap stres penduduk, hubungan kejiranan, penglibatan kepimpinan setempat serta faktor kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
“Kuala Krai menunjukkan tahap stres yang rendah, jaringan kejiranan kuat dan masyarakat yang tenang serta stabil berbanding bandar besar seperti Kuala Lumpur.
“Nilai bahagia itu tidak semestinya bergantung kepada kekayaan material, tetapi suasana hidup masyarakat yang harmoni serta suasana tidak menekankan pemikiran penduduk,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri di di sini petang semalam.
Program tersebut dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal.
Dr Alias berkata, indikator kebahagiaan tersebut selaras dengan piawaian World Happiness Report yang diterbitkan setiap tahun dan dirujuk dalam penilaian bandar bahagia di Malaysia.
Menurutnya, Bachok sebagai Bandar Paling Mampan hasil pencapaian tinggi dalam enam parameter utama melibatkan guna tanah, alam sekitar, komuniti sejahtera, pelaburan, infrastruktur dan tadbir urus.
“Majlis Daerah Machang pula menerima Anugerah Khas Kerajaan Negeri susulan komitmen cemerlang melaksanakan agenda pembangunan mampan berteraskan SDG, UN-Habitat dan New Urban Agenda,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kepentingan usaha revitalisasi bandar-bandar lama dan uzur di Kelantan penting bagi meningkatkan daya tarikan, nilai estetika serta kesejahteraan penduduk.
Kata beliau walaupun terdapat bandar baharu, masih banyak kawasan bandar lama yang memerlukan perhatian semula melalui perancangan sistematik dan berkesan.
“Tidak salah kalau kita mengambil pendekatan untuk menyegarkan dan memulihkan kembali bandar-bandar lama supaya lebih cantik, kemas dan tersusun. Usaha itu akan menjadi aset pelancongan baharu,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kehadiran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan kelak akan merancakkan lagi kedatangan pelancong dari luar.
Menurutnya, pelancong bukan sahaja datang untuk menikmati makanan atau aktiviti industri, sebaliknya ingin melihat budaya setempat, suasana kampung, elemen tradisional dan kehidupan komuniti.




0 Comments