Kelantan catat peningkatan pelaburan perkilangan RM1.7 bilion pada 2024


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 6 November – Kelantan mencatat perkembangan memberangsangkan dalam sektor pelaburan perkilangan pada tahun 2024 dengan jumlah keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan mencecah RM1.7 bilion.

Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata jumlah itu meningkat sebanyak RM1.5 bilion atau 90.2 peratus berbanding RM0.2 bilion pada 2023.

Menurutnya daripada jumlah tersebut, RM1.2 bilion merupakan pelaburan perkilangan domestik manakala pelaburan perkilangan asing mencatatkan RM492.8 juta.

"Ini menunjukkan ekonomi Kelantan berada dalam keadaan teguh dan stabil. Kerajaan negeri yakin bahawa menjelang 2026, Kelantan mampu memacu peningkatan ekonomi serta berdaya tahan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global."

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kelantan 2026 pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2025 di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menteri Besar turut menekankan bahawa kestabilan ekonomi negeri dapat dicapai melalui pelaksanaan projek-projek infrastruktur utama seperti naik taraf jalan sedia ada kepada jalan berkembar empat lorong di Rantau Panjang, naik taraf landasan kereta api Pasir Mas–Rantau Panjang.

"Selain itu, naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, projek jalan utama Kubang Kerian–Bachok dan Pasir Mas–Salor, sistem saliran Bandar Baru Tunjong, projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Mukim Tiong dan Mukim Jelutong, sistem Bekalan Air Luar Bandar di Pasir Mas, projek Loji Rawatan Air (LRA) Machang serta pelaksanaan Program Air Tidak Berhasil (NRW) dijangka mampu merancakkan dan menstabilkan ekonomi negeri Kelantan," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap lebih banyak projek baharu dalam sektor pertanian dan pelancongan dapat diberi perhatian di bawah fasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Termasuk pelaksanaan segera Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3). Projek-projek yang sedang dibina juga diharapkan dapat disiapkan segera demi kepentingan rakyat.

Post a Comment

0 Comments