![]() |
| Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 6 November — Sejak 2006 hingga 2024, Kerajaan Negeri Kelantan berjaya memajukan 3,332.92 hektar tanah terbiar untuk tujuan pertanian melalui pelbagai inisiatif strategik, melibatkan peruntukan keseluruhan RM26.34 juta, sekali gus mengukuhkan agenda sekuriti makanan negeri.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata daripada jumlah itu, RM12.6 juta merupakan peruntukan kerajaan negeri di bawah Program Pembangunan Tanah Terbiar (2006–2024) yang membangunkan 2,332.57 hektar.
Manakala RM13.74 juta adalah daripada kerajaan persekutuan bagi pembangunan 1,000.35 hektar antara 2008 hingga 2019.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan ke-15 Tahun 2025 di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurut Dato' Tuan Mohd Saripudin, rekod geospatial Jabatan Pertanian Negeri setakat 2020 menunjukkan 4,814.7 hektar tanah terbiar direkodkan di seluruh Kelantan membabitkan 3,690 lot tanah.
Empat jajahan mencatat keluasan tertinggi iaitu Kuala Krai (1,021.7 hektar), diikuti Machang (773.5 hektar), Jeli (681.7 hektar) dan Tanah Merah (459.9 hektar).
Kerajaan negeri turut menyediakan insentif RM25,000 bagi setiap hektar kepada pemilik atau penyewa tanah persendirian dengan keluasan minimum 0.4 hektar, merangkumi kos pembersihan lahan, infrastruktur asas, input pertanian, sistem pengairan, serta kemudahan pasca tuai.
Pembangunan dilakukan secara berfasa merangkumi tanaman kekal seperti kelapa, durian dan limau madu, serta tanaman jangka pendek termasuk tembikai, nanas, cili, timun, jagung, melon dan pelbagai sayuran.
Selain jabatan dan agensi kerajaan, golongan pemain strategik seperti GLC negeri turut menggerakkan pembangunan tanah terbiar.
Antaranya, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (KPNK) mengusahakan 270 ekar di Rong Chenok Agro Valley, Pasir Mas, melibatkan tanaman sayur berteknologi hidroponik, cili fertigasi, reban ayam automatik tertutup, pusat pembenihan ikan air tawar serta ternakan lembu pedaging baka Charolais.
Menurutnya lagi, bagi tahun 2025 dan 2026, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut meluluskan peruntukan tambahan bagi projek tanaman makanan ruminan, melon madu, pisang, anggur dan timun di kawasan yang sama.
Turut menyumbang, Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) yang membangunkan lebih 115 ekar tanah terbiar di beberapa jajahan, merangkumi 49.4 ekar bagi tanaman tembikai, ubi keledek, timun batang dan labu.
Seterusnya, 18.87 ekar projek fertigasi, 20 ekar tanaman bawang, 10 ekar harumanis di Bachok serta 28 ekar Gual Ipoh Agro Farm yang memfokuskan tanaman fertigasi, jagung, labu manis, bawang, selain ternakan ayam telur dan ayam saga MARDI.
Tegasnya, usaha berkenaan mampu memulihkan tanah tidak produktif dan mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan negeri dalam memperkasa ekonomi tani melalui pembangunan strategik, inklusif dan berdaya saing.
“Ini adalah pelaburan masa depan Kelantan dalam. memastikan ketersediaan makanan, meningkatkan pendapatan rakyat, dan memaksimumkan potensi aset negeri dengan keberkatan serta kemampanan,” katanya.

0 Comments