Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 12 November — Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan hala tuju baharu pembangunan negeri melalui pelancaran Kerangka Strategik Kelantan Future State (KFS) 2033: Menjana Negeri Sejahtera, bagi memastikan kemajuan ekonomi, tadbir urus berintegriti serta kesejahteraan rakyat direalisasikan secara tersusun hingga tahun 2033.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memperincikan strategi pelaksanaan pembangunan negeri melalui dokumen Kelantan Future State: Kelantan Sejahtera 2033 (KFS2033), sebagai peta jalan utama ke arah merealisasikan visi “Kelantan Sejahtera 2033”.
Beliau berkata, pendekatan tersebut dirangka berasaskan prinsip Membangun Bersama Islam, yang menjadi teras pentadbiran negeri sejak dahulu, namun kali ini digerakkan melalui strategi lebih sistematik, melibatkan pemantauan prestasi, pemikiran masa depan serta pengukuhan kerjasama pelbagai pihak.
“Kerajaan Negeri telah menyusun pelan pelaksanaan berdasarkan portfolio Exco dengan indikator prestasi yang jelas serta dipantau secara berkala. Ini untuk memastikan setiap perancangan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kuala Balah, YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan), Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2025, hari kelima, hari ini.
Dato’ Mohamed Fadzli menyenaraikan empat langkah strategik pelaksanaan KFS2033. Pertama, penstrukturan pelaksanaan melalui hala tuju portfolio.
“Semua Exco Kerajaan Negeri mengguna pakai dokumen induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) dan Halatuju Portfolio Kerajaan Negeri 2024–2028. Setiap portfolio mempunyai pelan lima tahun berasaskan 19 kuasa penggerak KFS2033.
“Antaranya, tadbir urus cekap dan amanah, pemerkasaan ekonomi Islam, industri halal dan pelaburan beretika, peningkatan kemudahan jalan, air dan pengangkutan yang lebih baik, pembangunan belia berwawasan dan keluarga sejahtera, serta pemeliharaan alam sekitar dan sumber air. Semua portfolio mempunyai Indikator Prestasi Utama (KPI) dan dipantau mengikut sasaran KFS 2033,” jelasnya.
Kedua, pemantauan pelaksanaan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK) menjadi penyelaras utama pelaksanaan.
“Tindakan utama kedua-dua agensi tersebut adalah menyusun 770 pelan tindakan melibatkan hampir 150 jabatan dan agensi bagi tempoh 2024–2028. Pemantauan berkala prestasi dan mengenal pasti cabaran pelaksanaan, serta menyediakan pelaporan terus ke kerajaan negeri untuk tindakan susulan segera,” katanya.
Seterusnya yang ketiga ialah penerapan pemikiran masa depan yang melibatkan kepimpinan negeri digalakkan mengadaptasi pemikiran futuristik selari dengan prinsip Islam seperti ijtihad dan tajdid.
Menurut Dato’ Dr. Fadzli, pelaksanaannya dikendalikan oleh Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) yang akan menganjurkan Kursus Futures Thinking kepada barisan kepimpinan dan pentadbir negeri, serta mengadakan Seminar Kelantan Futures State 2033 sebagai platform wacana dan perancangan masa depan negeri.
“Keempat, pengukuhan sinergi dan libat urus yang melibatkan pihak berkepentingan seperti NGO, belia, wanita dan anak Kelantan di perantauan secara inklusif. Antara program utama ialah Sidang NGO oleh UBeS dan Konfederasi NGO, Forum Belia oleh Kelantan Future Leaders, Townhall Anak Perantauan oleh UPKN serta Libat Urus Wanita oleh U-KeKWA,” ujarnya.


0 Comments