Oleh Intan Lestari
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
(KPWKM) hanya diperuntukan sekitar 1.5 peratus daripada keseluruhan Belanjawan Madani 2026.
Sedangkan kementerian tersebut memainkan peranan penting menjaga kebajikan wanita, keluarga, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) serta golongan rentan.
Ahli Parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, berdasar jumlah peruntukan tersebut menggambarkan kementerian terbabit tidak diberikan keutamaan sewajarnya dalam belanjawan kali ini.
“Sepatutnya kementerian berkenaan mendapat bajet yang lebih besar kerana tanggungjawabnya sangat luas.
“Namun, kita lihat dalam Bajet Madani 2026 peruntukan kepada KPWKM masih kecil dan tidak mencerminkan keutamaan kebajikan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap tekanan ekonomi yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah, meskipun menerima bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Kadar kemiskinan luar bandar masih tinggi, iaitu 9.7 peratus. Apakah program yang disediakan untuk memperkasakan ekonomi keluarga kerana ia turut menyumbang masalah sosial,” ujarnya.
Menurut beliau, tekanan ekonomi berterusan memberi kesan langsung kepada institusi keluarga seperti laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan peningkatan kes penceraian dan keganasan rumah tangga.
Sehingga Oktober 2025 sebanyak 3,768 kes keganasan rumah tangga dilaporkan.
Oleh itu beliau menyarankan kerajaan memberi keutamaan baharu kepada pembinaan keluarga harmoni melalui program keluarga sejahtera, pendidikan keibubapaan serta kaunseling keluarga.
“Kita perlu memperbanyakkan pusat sokongan sosial setempat dan memperkukuh sokongan kesihatan mental supaya keluarga dapat dibangun dengan seimbang.
“Banyak isu sosial berpunca daripada masalah kesihatan mental yang tidak ditangani secara holistik,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan penunjuk kesejahteraan keluarga sebagai ukuran baharu dalam menentukan tahap kesejahteraan sosial rakyat.



0 Comments