Umat Islam diseru solat hajat, munajat dijauhi musibah MTL


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 13 November – Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menyeru seluruh umat Islam di negeri Kelantan khususnya, serta umat Islam di seluruh Malaysia untuk mengadakan solat hajat dan memperbanyakkan doa serta bermunajat kepada Allah SWT agar dijauhi sebarang musibah ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).

Seruan itu dibuat susulan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 10 November 2025 yang menjangkakan MTL akan bermula pada 13 November 2025 dan berterusan sehingga Mac 2026, dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan diramal berlaku sepanjang tempoh tersebut.

Menurut YB Mohd Asri, fenomena hujan lebat yang melanda pada musim ini berpotensi menyebabkan banjir besar dan ribut kencang, justeru umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan doa serta melaksanakan solat hajat dua rakaat memohon perlindungan daripada Allah SWT.

"Kita sudah pun berada di bulan November. Sebagaimana yang kita maklum bahawa bulan ini dan bulan Disember, hujan turun agak lebat dari bulan-bulan yang lain. Jadi saya menyeru umat Islam di Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya untuk memperbanyakkan doa serta melaksanakan solat hajat dua rakaat memohon perlindungan daripada Allah SWT.

"Nabi SAW telah mengajar kita apabila mempunyai hajat, hendaklah berdoa dan menunaikan solat hajat. Baginda juga mengajarkan doa ketika turunnya hujan,” katanya menerusi siaran" Tawasau ' di media sosial, pada Rabu.

Antara doa yang dianjurkan ketika hujan ialah:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
"Ya Allah, jadikanlah hujan ini hujan yang membawa manfaat."

Manakala doa ketika hujan lebat pula ialah
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
"Ya Allah, turunkanlah hujan di sekeliling kami, bukan ke atas kami; di bukit-bukit, di pergunungan, di lembah-lembah dan tempat tumbuhnya pokok."

YB Mohd Asri turut menasihati rakyat agar umat Islam tidak terlibat dengan aktiviti hiburan berlebihan yang boleh melalaikan serta mengundang kemurkaan Allah SWT, sebaliknya memperbanyakkan zikir, doa dan amalan kebajikan.

"Tidak sepatutnya kita menganjurkan hiburan-hiburan yang melampau dan berlebih-lebihan. Kita mohon semua pihak dapat mengelak perkara ini. Insya-Allah, Allah SWT akan menyelamatkan kita daripada segala perkara yang tidak diingini,” katanya.

Beliau menyeru agar seluruh rakyat negeri Kelantan sentiasa mengangkat doa dan bermunajat supaya negeri ini serta seluruh negara dilindungi daripada bencana dan diberikan kesejahteraan sepanjang musim monsun kali ini.

Post a Comment

0 Comments