Oleh A Rahman Harun
KUALA LUMPUR: Seramai 30,000 nelayan anak tempatan di Perak dinafikan hak mendaftar sebagai nelayan sedangkan mereka sudah menjalankan aktiviti itu sejak sekian lama.
Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkata, nelayan tersebut tiada pilihan lain terpaksa turun ke laut untuk menyara kehidupan, biarpun berhadapan tindakan pihak berkuasa.
Selain itu mereka juga tercicir daripada menerima bantuan kerajaan seperti subsidi diesel, bantuan musim tengkujuh serta program pembanguan komuniti perikanan
"Purata penggunaan minyak seorang nelayan pantai sekitar 45 liter sehari, kira-kira 1,125 liter sebulan sekiranya 25 hari turun ke laut, namun mereka tidak mendapat hak subsidi diesel disediakan kerajaan.
"Mereka tidak dapat berdaftar, walaupun sudah lama menjalankan aktiviti menangkap ikan," kata pada perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam.
Mohd Misbahul Munir turut mendakwa jumlah nelayan warga asing dilihat menyamai bilangan nelayan anak tempatan di daerah Kerian, Larut Matang, Manjung dan Hilir Perak.
Menurut statistik dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia jumlah nelayan tempatan di Perak merangkumi empat daerah seramai 9,010 manakala warga asing pula berjumlah 7,200 orang.
Katanya kerajaan perlu menjelaskan mengapa nelayan warga asing dapat menikmati subsidi diesel dan bantuan lain yang disediakan kerajaan, berbanding 30,000 nelayan anak tempatan dinafikan hak tersebut.
"Persoalannya mana datangnya nelayan asing yang jumlahnya hampir sama nelayan tempatan, adakah mereka merupakan awak-awak yang bekerja dengan tauke-tauke nelayan. Kerajaan kena bagi penjelasan," katanya.

0 Comments