Kelantan iktiraf sasterawan, pembina akal budi bangsa


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 9 November – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmennya mengangkat sastera sebagai wahana pembinaan akal budi bangsa melalui pengiktirafan kepada para pengkarya tanah air yang menjadi pencetus nilai, kesedaran dan jati diri masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal berkata, sastera cerminan jiwa bangsa dan rakaman pemikiran masyarakat merentasi generasi.

“Sastera adalah cerminan jiwa bangsa, wadah yang menyikap pemikiran dan perasaan masyarakat serta medium yang menghubungkan masa lalu, masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kelantan 2025 (HSK2025) di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, hari ini.


Beliau juga menegaskan bahawa karya sastera berperanan besar dalam membentuk nilai kemanusiaan, kecintaan kepada tanah air serta penghargaan terhadap bahasa ibunda.

“Penulis bukan sekadar pengkarya. Mereka pendidik nurani dan pembentuk akal budi bangsa,” jelasnya.

Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean turut mengakui Kelantan sememangnya terkenal sebagai negeri yang kaya dengan budaya dan bahasa serta menjadi medan subur lahirnya ramai sasterawan tersohor yang menyumbang bukan sahaja melalui penulisan, tetapi juga kepada pembinaan akhlak dan jati diri masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran HSK2025 sebagai satu bentuk penghargaan terhadap mereka yang menabur bakti melalui dunia pena.


Katanya, dalam era teknologi dan digital masa kini, peranan penulis semakin penting kerana masyarakat memerlukan pengisian yang membawa nilai, kebenaran dan kesedaran.

“Penulis tidak hanya menulis kata yang indah, tetapi menyampaikan aspirasi dan harapan rakyat. Mereka pembawa suara kebenaran dan perubahan.”

Tambahnya, karya yang baik perlu dibina atas asas ilmu, hikmah dan kekuatan rohaniah agar terus relevan sepanjang zaman.

Mengakhiri ucapan, beliau merakamkan penghargaan Kerajaan Negeri kepada seluruh penggiat sastera serta menyeru lebih ramai bakat baharu tampil berkarya.

"Melalui HSK2025, Kerajaan Negeri Kelantan terus komited menyokong usaha para sasterawan dan menggalakkan penulis muda membawa suara generasi baharu yang berpaksikan nilai murni dan kemanusiaan sejagat,” ujarnya.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengelola DBP Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy dan Pengarah DBP Wilayah Timur Ariza Che Ismail.

Post a Comment

0 Comments