Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, , 10 November — Kerajaan Negeri Kelantan sedang merangka Dasar Sukan Mesra Islam dengan kerjasama pakar-pakar dari Universiti Malaya (UM) bagi memastikan pelaksanaan aktiviti sukan di negeri itu selaras dengan tuntutan syariah.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata, dasar berkenaan kini mencapai 40 peratus kemajuan dengan pelaksanaan dilakukan secara berfasa melibatkan pakar dalam pelbagai bidang termasuk agama, sains sukan dan perubatan.
Beliau berkata, majlis pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) antara kerajaan negeri dan UM telah diadakan pada 29 Mei lepas bagi memulakan usaha tersebut secara rasmi.
"Pakar-pakar ini melihat pelbagai aspek dalam sukan bagi memastikan ia memenuhi prinsip Islam. Setakat Oktober 2025, pelbagai pelaksanaan telah dibuat dan kami kini berada pada tahap 40 peratus siap."
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan, pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim, hari ketiga hari ini.
Katanya lagi, fasa pertama pembangunan dasar itu telah diadakan pada 6 Februari lalu, melibatkan perbincangan dengan ahli akademik, pengamal sukan dan agensi kerajaan yang memberi tumpuan kepada isu pakaian atlet, pengasingan ruang serta penjadualan aktiviti sukan bagi menghormati waktu ibadah.
"Fasa kedua pula dilaksanakan pada 17 April 2025 melalui sesi perbincangan kumpulan fokus di Kota Bharu yang turut disertai atlet, jurulatih dan wakil agensi kerajaan.
“Antara cadangan utama yang dibincangkan ialah inovasi pakaian sukan patuh syariah, satu cabaran penting bagi Kelantan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2028,” katanya.
Selain itu, katanya, kempen kesedaran masyarakat dan penyediaan fasiliti mesra ibadah turut menjadi sebahagian daripada agenda utama dasar tersebut.
Menurut Zamakhshari, pada Ogos 2025, satu kajian khas turut dijalankan dengan merujuk model penganjuran Sukan Patuh Syariah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berjaya melaksanakan pengasingan jantina dan pematuhan aurat tanpa menjejaskan prestasi atlet.
"Insya-Allah hujung minggu ini, pasukan pakar akan ke Riyadh bagi menjalankan kajian terhadap Islamic Solidarity Games untuk mendapatkan maklumat tambahan,” katanya.

0 Comments