Bantuan Rumah Dhuafa’ bertambah dari tiga unit kepada empat unit setahun


Oleh: Asyura Muhamad

KOTA DARULNAIM, 10 November – Bermula tahun 2019, kerajaan negeri telah melancarkan Bantuan Rumah Dhuafa’ kepada golongan miskin bagi membantu mereka membina rumah baharu atau membaik pulih rumah sedia ada.

Usaha tersebut diteruskan lagi dengan meningkatkan jumlah pembinaan Rumah Dhuafa’ daripada tiga kepada empat unit bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk setiap tahun, sebagai usaha memperluas bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Demikian menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah dalam sesi penggulungan, pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya lagi, bagi tempoh lima tahun kebelakang iaitu bermula tahun 2020 hingga 2025, kerajaan negeri telah berjaya membina sebanyak 3,528 buah rumah. Jumlah tersebut merangkumi 676 unit rumah bina baharu dan 2,850 unit rumah baik pulih, yang memberi manfaat besar kepada rakyat berpendapatan rendah di seluruh negeri.

Tambahnya,, bagi Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) pula, kerajaan negeri telah memperkenalkan dasar perumahan baharu pada tahun 2025, yang melibatkan dua kategori utama iaitu Baitul Ilmi bagi rumah bernilai antara RM70,000 hingga RM180,000. Manakala Baitul Raudah untuk rumah bernilai antara RM180,000 hingga RM250,000.

“Bagi memudahkan pemilikan rumah, kerajaan negeri memperkenalkan kaedah Sewa Untuk Pemilikan yang memberi tumpuan kepada kumpulan B40 dan M40.

Melalui kaedah ini, rakyat akan melalui tempoh lima tahun pertama sebagai penyewa, diikuti tawaran pembelian selama 10 tahun, sebelum diberikan tawaran pemilikan penuh pada tempoh 15 tahun terakhir,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, YB Hilmi turut mencadangkan agar kursus pengurusan kewangan diperkenalkan kepada rakyat, khususnya golongan peniaga dan mereka yang bekerja sendiri. Katanya, langkah ini penting bagi membantu meningkatkan kebolehupayaan rakyat mendapatkan kelulusan pinjaman perumahan di bawah skim yang ditawarkan kerajaan negeri.

Post a Comment

0 Comments