Kelantan rintis gubal undang-undang wajibkan nafkah anak kepada ibu bapa

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 26 November – Kelantan muncul sebagai negeri perintis yang menggubal undang-undang mewajibkan anak menanggung nafkah ibu bapa, sebagaimana cadangan menteri di peringkat Persekutuan yang menyasarkan pembentangan peruntukan serupa pada Mac tahun hadapan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata langkah tegas itu dimuktamadkan melalui kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2025 pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan penggal ketiga, 12 November lalu.

Menurutnya, Kelantan mengambil pendirian proaktif dalam menangani isu pengabaian warga emas serta memperkukuh tanggungjawab anak dan waris terhadap ibu bapa.

“Melalui peruntukan ini, mahkamah boleh memerintahkan anak atau cucu membayar nafkah kepada ibu, bapa, datuk, nenek, moyang dan seterusnya. Waris pusaka turut dipertanggungjawabkan menjaga warga emas yang tidak mempunyai anak,” jelasnya.

RUU Keluarga Islam 2025 mengandungi 11 bahagian, 178 seksyen dan enam jadual, merangkumi pelbagai aspek hukum kekeluargaan Islam termasuk perlindungan golongan rentan dan struktur tanggungjawab keluarga.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui JKSM sedang memuktamadkan pindaan Undang-Undang Mahkamah Syariah bagi memasukkan peruntukan jelas berkaitan nafkah dan jagaan ibu bapa uzur.


“Kerajaan MADANI menetapkan Mac tahun depan sebagai sasaran pembentangan peruntukan tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut, YB Mohd Asri menyifatkan tindakan Kelantan itu sebagai usaha awal dan menyeluruh bagi memperkukuh institusi keluarga.

“Rang undang-undang ini digubal untuk menjaga institusi kekeluargaan, melindungi hak serta tanggungjawab ahli keluarga, menyelesaikan konflik secara adil, melindungi warga emas, wanita dan kanak-kanak, menjaga salasilah keturunan serta memelihara maruah. Ia juga membantu pembangunan sosial selari tuntutan Islam,” katanya.

YB Asri juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Agama atas inisiatif membawa agenda baharu berkaitan kemaslahatan ummah, sebagaimana Kelantan.

Post a Comment

0 Comments