Oleh Salmah Mat Husain
PUTATAN: Anak-anak
muda Sabah yang bekerja di perantauan disaran pulang pada Sabtu ini bagi
menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk menentukan masa depan negeri tersebut.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tanggungjawab itu hanya dilaksanakan lima tahun sekali bagi menentukan acuan masa depan.
Katanya, tanggungjawab tersebut bukan perkara kecil kerana ia boleh menentukan haluan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.
“Masa depan Sabah akan ditentukan generasi muda yang ada sekarang. Oleh itu mereka perlu pulang ke kampung masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab yang begitu besar.
“Hanya rakyat Sabah yang boleh membuat perubahan dengan menolak pemimpin mengambil kesempatan politik membina empayar peribadi,” katanya ketika membantu kempen calon PN-PAS di Patagas baru-baru ini.
Di Dun berkenaan, Perikatan Nasional (PN) diwakili seorang doktor perubatan Dr Afifi Saif yang mewakili PAS.
Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata, PN mengetengahkan calon terbaik, seorang anak muda berpendidikan tinggi yang mampu berbakti kepada masyarakat di Dun Petagas.
Menurutnya juga sekiranya rakyat Sabah tidak memanfaatkan peluang Sabtu ini dengan memilih calon dan parti yang berintegriti masa hadapan mereka akan kelam.
“Sudah tiba masa untuk rakyat Sabah bangkit. Rakyat tidak mahu lagi mendengar cerita rasuah dan penyelewengan sehingga menyebabkan hak rakyat terabai.
“Kita tidak mahu pengundi tersalah pilih. Pilihlah pimpinan yang mampu membawa Sabah ke arah lebih baik. Pulanglah mengundi dan lakukan perubahan,” ujar beliau.
Siti Zailah turut mengakui gerak kerja kempen begitu mencabar bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat yang lebih jelas berkaitan perkembangan semasa yang berlaku.




0 Comments