Kelantan terap kefahaman PMBI dalam kalangan Gen-Z


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 12 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus melaksanakan pelbagai program khas untuk memastikan golongan generasi-Z (Gen-Z) menghayati Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) dengan menekankan nilai Islam, kepimpinan, tanggungjawab sosial dan gaya hidup sihat.

Perkara itu dinyatakan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad, semasa menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar pada hari terakhir Persidangan Dewan Negeri Kelantan hari ini.


Menurutnya, golongan Gen-Z yang lahir antara 1997 hingga 2012 kini merupakan teras utama belia di Kelantan.

"Mereka sekarang berumur antara 13 hingga 28 tahun dan terdiri daripada pelajar sekolah menengah, mahasiswa, dan anak muda yang telah mula bekerja.

"Generasi ini juga dikenali sebagai generasi digital yang sangat terdedah kepada perkembangan global, media sosial dan dunia tanpa sempadan" jelasnya.

YB Zamakhshari juga memaklumkan bahawa salah satu inisiatif utama adalah program Rakan Muda Al-Quran, versi Kelantan yang menambah satu gaya hidup daripada 10 gaya hidup Rakan Muda di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Program sulung dijadualkan pada 29 November dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan beberapa agensi lain bagi menanam minat dan kefahaman al-Quran dalam kalangan belia.

Tambahnya, sepanjang tahun 2025, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) telah melaksanakan 56 program dengan penglibatan 3,863 sukarelawan, memberi impak kepada lebih 36,000 peserta melalui 3,600 jam aktiviti.

Program tersebut merangkumi Family Fun Run, Cabaran Memanah, Shoot Out Bola Jaring, Liga Elit DUN, Piala MB, Kembara Perpaduan Kaum, Iftar Perdana dan hiking Gunung Stong.

Selain itu, U-BeS turut menekankan pembangunan pemikiran strategik, digital dan kepimpinan masa depan melalui Bengkel Wacana Dasar Anak Muda (DAMAK), Pidato Anak Muda, Khusus-Khusus kemahiran serta Kem Kompetensi Belia.

“Kesemua program ini dirancang bagi menyemai nilai Islam, tanggungjawab sosial dan pembinaan akhlak dalam kalangan Gen-Z agar mereka menjadi generasi Al-Qawiyul Amin,” ujarnya.

Bagi memperkukuh pembangunan kepimpinan belia, Kelantan Future Leader Institut dengan kerjasama U-BeS telah menganjurkan program Kelantan Future Leaders Bootcamp (KFLB) bagi lepasan SPM/STPM, Kelantan Future Leaders Camp (KFLC) untuk pelajar sekolah menengah, Kelantan Future Leaders Academy (KFLA) bagi mahasiswa, serta Felo Darul Naim dan Ahli Dewan Negeri Belia bagi lepasan Institut Pengajian Tinggi.

Post a Comment

0 Comments