Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 9 November - Usul belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud pada Persidangan Kali Ketiga Dewan Negeri Kelantan Penggal Ketiga (Belanjawan) telah mendapat sokongan penuh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumboh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus.
Dalam ucapan perbahasannya, beliau menegaskan bahawa belanjawan tersebut bukan sekadar penyata kewangan tahunan, sebaliknya mewakili prinsip pentadbiran yang adil dan berintegriti.
“Belanjawan ini bukan sekadar dokumen kewangan tetapi manifestasi kepada pentadbiran Islam yang adil, berintegriti dan berorientasikan kesejahteraan rakyat,” katanya di Kompleks Pentadbiran Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau turut menekankan keperluan agihan pembangunan yang lebih seimbang oleh Kerajaan Persekutuan kepada semua negeri di Malaysia tanpa mempengaruhi sentimen politik.
“Keadilan dan pengagihan peruntukan pembangunan kepada negeri-negeri mestilah dilaksanakan dengan saksama tanpa mengira perbezaan politik,” tegasnya.
Menurutnya, prinsip federalisme menuntut agar setiap wilayah diberikan layanan yang adil, kerana pembangunan negeri memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Dalam perbahasan itu juga Dato’ Abdul Rahman turut menyatakan sokongan penuh terhadap pembangunan Bandar Baru Tunjong, yang merupakan antara projek strategik dalam agenda pembangunan negeri.
Katanya, projek tersebut perlu direalisasikan dengan skala lebih menyeluruh dan bukan sekadar sebagai pusat komersial.
“Bandar Baru Tunjong mesti direalisasikan bukan semata-mata sebagai pusat komersial moden tetapi sebagai bandar seimbang berteraskan sosial, ekonomi dan alam sekitar yang harmoni,” jelasnya.
Beliau berpandangan bahawa pembangunan struktur bandar yang mampan mampu membuka lebih banyak peluang pelaburan, mencipta pekerjaan baharu dan menggerakkan aktiviti ekonomi rakyat setempat.

0 Comments