Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 27 November — Beberapa kemudahan awam di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh mengalami kerosakan serius selepas kawasan itu dilanda hakisan teruk akibat hentaman ombak musim tengkujuh.
Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, beliau bersama Ketua Jajahan Pasir Puteh Mohd Kamarulzaman Ab Wahab bergegas ke tempat kejadian setelah mendapat maklumat berlaku hakisan di pantai tersebut bagi meninjau kawasan yang terjejas.
Katanya, terdapat beberapa kiosk runtuh serta rosak teruk akibat ombak kuat yang melanda sejak beberapa hari lalu.
"Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan kerana risiko hakisan dijangka meningkat jika tidak ditangani segera. Hentaman kuat ombak musim tengkujuh telah menyebabkan beberapa kemudahan kiosk runtuh dan mengalami kerosakan teruk,” katanya menerusi media sosial, pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan Ketua Jajahan untuk mengemukakan permohonan melibatkan kerja-kerja pencegahan hakisan pantai sebagai tindakan segera.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Kelantan akan berusaha secepat mungkin untuk mengawal dan mencegah hakisan daripada menjadi lebih parah,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar semua urusan dipermudah dan keadaan di Pantai Bisikan Bayu kembali pulih seperti sediakala demi keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat.
Terdahulu beliau menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Dalam Rhu, Pasir Puteh.



0 Comments