Khidmat Malaysia, Jabatan Amal bantu mangsa banjir

 

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diingatkan supaya memastikan keadaan rumah mereka berkunci sebelum pindah ke PPS.

Pengerusi Khidmat Malaysia, Dato' Dr Marzuk Shaary berkata, pastikan suis utama elektrik di rumah ditutup dan pintu dikunci sebelum berpindah ke PPS.

"Perkara itu amat penting bagi mengelak kejadian yqng tidak diingini berlaku," ujarnya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kedai Lalat dekat sini semalam.

Beliau turut mengingatkan orang ramai mematuhi semua arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga ketika berada di PPS.

Katanya juga trend banjir di kebanyakan negeri menaik termasuk Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.

“Trend banjir di kawasan Pengkalan Chepa juga menunjukkan peningkatan termasuk jumlah mangsa yang berpindah ke PPS, namun ada juga yang telah pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga anggota Parlimen Pengkalan Chepa berkata, pemantauan terus dilakukan membabitkan bekalan keperluan asas dan pengurusan penempatan mangsa.

Katanya setiap proses bantuan disalurkan melalui petugas serta penggawa yang ditugaskan di lapangan.

Menurutnya juga banjir kali ini merupakan gelombang awal dan pelbagai perkara di luar jangkaan mungkin berlaku dalam fasa pertama pengurusan.

Khidmat Malaysia bersama Jabatan Amal digerakkan bagi membantu perpindahan mangsa dan menyelaraskan bantuan kecemasan.

Bantuan diberi sepanjang mangsa berada di PPS termasuk santunan kebajikan dan sokongan keperluan asas.

“Selepas banjir reda Khidmat Malaysia akan membantu membersihkan rumah dan pemulihan kediaman bagi memastikan keselamatan mangsa banjir,” katanya.

 

 

Post a Comment

0 Comments