Pemuda PAS desak polis siasat dakwaan rasuah pegawai PM

 

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Dakwaan pemberian wang berjumlah lebih RM600,000 kepada bekas pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri (PM) perlu disiasat secara telus biarpun individu terbabit sudah meletak jawatan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan integriti serta kredibiliti pentadbiran tertinggi negara.

“Dakwaan tersebut turut memberi kesan terhadap keyakinan rakyat kepada prinsip keadilan, tata kelola baik dan ketelusan dalam urus tadbir kerajaan,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Kota Bharu, di Pengkalan Chepa semalam.

Laporan polis dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Mohd Redha Abdullah.

Baru-baru ini Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri selepas terpalit dakwaan rasuah.

Sebelum itu media melaporkan ahli perniagaan Albert Tei mengaitkan Shamsul Iskandar dalam skandal perlombongan di Sabah.

Albert Tei mendakwa memberi RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.

Mohd Firdaus berkata, pihaknya membuat laporan polis berhubung isu tersebut bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh, profesional dan telus.

Kata beliau tindakan perletakan jawatan individu terbabit tanpa penjelasan terperinci menimbulkan lebih banyak tanda tanya dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“PDRM didesak menjalankan siasatan secara bebas, menyeluruh dan tanpa campur tangan politik. Pejabat Perdana Menteri diminta menjelaskan secara rasmi bagi meredakan kekeliruan rakyat.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia digesa membuka siasatan kerana dakwaan tersebut melibatkan elemen rasuah, salah guna kuasa dan integriti,” ujarnya.

Mohd Firdaus menegaskan tiada individu berada di atas undang-undang dan semua tuduhan berkaitan kepentingan awam perlu disiasat tanpa kompromi.

Post a Comment

0 Comments