Oleh: Asri Hamat
Kredit Foto: FB Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam
Kredit Foto: FB Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam
BACHOK, 4 November – Pembinaan Stesen Bas Bandar Baru Jelawat menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDBBPI) mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam demi keselesaan penduduk dan pelancong.
Stesen bas tersebut sudah dibina dan perasmian pembukaanya telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MDBBPI Mohd Zaki Yusoff pada Isnin.
Kewujudannya dijangka menjadi pusat tumpuan utama bagi aktiviti ekonomi setempat, selain berperanan sebagai nadi perhubungan baharu di kawasan Bandar Baru Jelawat.
Mohd Zaki berkata bahawa pembinaan stesen bas tersebut akan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat, pelancong, dan peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di sekitar kawasan tersebut.
"Kemudahan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, tetapi turut berperanan sebagai mercu tanda baharu pembangunan di Bandar Baru Jelawat. Dengan adanya stesen bas ini, kita berharap ia akan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi dan sosial setempat,” ujarnya.
Beliau turut menambah bahawa usaha berkenaan sejajar dengan matlamat MDBBPI untuk menjadikan Bachok sebagai Bandar Pelancongan Islam yang moden, harmoni dan berdaya saing. Pembinaan stesen bas ini turut melambangkan kesungguhan majlis dalam menyediakan prasarana berkualiti bagi menyokong pertumbuhan pesat kawasan bandar baharu.
Majlis perasmian tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli-Ahli Majlis, ketua-ketua jabatan MDBBPI serta wakil daripada syarikat Express Perdana. Kehadiran pelbagai pihak ini mencerminkan semangat kerjasama dan sokongan padu terhadap usaha pembangunan yang dijalankan oleh majlis.
Mohd Zaki optimis bahawa stesen Bas Bandar Baru Jelawat dijangka menjadi mercu tanda baharu bagi daerah Bachok, sekaligus meningkatkan imej dan daya tarikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan Islam yang progresif.
“MDBBPI yakin bahawa dengan adanya kemudahan pengangkutan awam yang selesa dan strategik ini, ia akan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan menarik lebih ramai pengunjung ke Bachok,” katanya.
Mewakili seluruh warga MDBBPI, beliau berharap agar semua pihak termasuk masyarakat setempat, pengusaha pengangkutan dan peniaga dapat sama-sama memanfaatkan kemudahan yang disediakan itu untuk kesejahteraan bersama.



0 Comments