Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 18 November – Persidangan Dewan Belia Negeri Kelantan Penggal Pertama Sesi 2025/2026 meluluskan lima usul utama sepanjang persidangan dua hari yang berlangsung di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darulnaim.
Usul-usul berkenaan merangkumi pelbagai aspek strategik pembangunan negeri termasuk pengurusan sumber, pendidikan kemahiran, pelancongan budaya, pembangunan belia serta keterjaminan makanan.
Antara usul yang diluluskan adalah cadangan mewujudkan polisi pengurusan unsur nadir bumi (REE) dan penubuhan agensi khas bagi memastikan industri tersebut diurus secara bersepadu dan telus.
Persidangan turut meluluskan usul bagi memperkukuhkan kerjasama dengan institusi TVET melalui pelaksanaan program pendidikan kemahiran secara bersepadu di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi melahirkan pelajar yang kompeten dan memenuhi keperluan pasaran kerja.
Selain itu, usul pemerkasaan produk seni budaya Kelantan sebagai produk pelancongan juga diterima bagi merancakkan ekonomi setempat dan meningkatkan penyertaan belia dalam pembangunan sektor tersebut.
Turut diluluskan ialah usul mewujudkan platform pemprofilan anak muda Kelantan sebagai instrumen perancangan strategik pembangunan sosial dan ekonomi belia negeri.
Persidangan juga bersetuju dengan usul merakyatkan keterjaminan makanan Kelantan bagi memperkukuh dasar dan program berkaitan kestabilan sumber makanan negeri.
Speaker Dewan Belia Negeri Kelantan YB Saizol Ismail dalam ucapan penutupnya merakamkan penghargaan kepada semua pembentang, pembahas, penyokong dan seluruh ADN Belia yang terlibat sepanjang persidangan.
Beliau menyifatkan komitmen dan kualiti perbahasan yang ditonjolkan sebagai suatu perkembangan yang menggembirakan.
"Tahniah kepada semua yang terlibat. Saya gembira melihat semangat dan keterampilan para ADN Belia sepanjang persidangan ini,” katanya.
YB Saizol turut memuji pandangan dan usul yang dibawa serta menyatakan beberapa cadangan akan dipertimbangkan untuk diangkat kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
"ADN Belia memikul amanah dan peranan. Mainkan peranan sebaiknya untuk berbakti kepada negeri Kelantan,” ujarnya.
Persidangan itu kemudiannya ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, dijangka pada Februari 2026.





0 Comments